KUALA LUMPUR - Seramai 14,922 individu ditahan kerana didapati ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa satu dan dua sejak 18 Mac hingga semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, daripada jumlah itu seramai 3,627 individu ditahan pada PKP fasa satu manakala 11,295 individu ditahan pada PKP fasa kedua.
"Seramai 5,830 individu sudah dituduh di mahkamah di seluruh negara dan kini sedang menjalani hukuman," katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.
Huzir berkata, seramai enam individu dikesan melanggar arahan PKP secara berulang.
"Kita perlu mohon hukuman maksimum dikenakan terhadap individu yang melanggar arahan PKP secara berulang," katanya.
Menurutnya, segelintir individu yang ditahan itu tidak dapat memberikan alasan yang munasabah.
"Arahan PKP sangat jelas, hanya mereka yang mempunyai kebenaran dan berada di dalam sektor keperluan serta mempunyai kecemasan sahaja dibenarkan melakukan pergerakan," katanya.
Beliau berkata, pihaknya tidak lagi mengeluarkan kompaun terhadap individu yang ingkar arahan PKP pada fasa ketiga yang bermula hari ini.
"Kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas dengan menangkap dan menuduh semua pesalah PKP di mahkamah," katanya.