PUTRAJAYA - Kabinet yang bermesyuarat hari ini bersetuju membenarkan penganjuran e-bazar melalui pesanan dalam talian dan dihantar menggunakan e-hailing dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kaedah itu dilihat sebagai langkah terbaik dalam usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan wabak koronavirus (Covid-19).
Iklan
Iklan
"Setakat ini hanya e-bazar sahaja dibenarkan iaitu membuat pesanan dalam talian dan akan dihantar menggunakan perkhidmatan e-hailing.
"Bagaimanapun, ada dua lagi konsep yang dicadangkan iaitu secara pandu lalu dan ambil pesanan di gerai.
"Kabinet meminta (cadangan konsep pandu lalu dan ambil pesanan di gerai) diperhalusi kerana kita bimbang akan berlaku kesesakan di atas jalan raya kerana mereka mempunyai satu lagi alasan untuk keluar,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai PKP di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, sekiranya dua cadangan itu diluluskan ia secara tidak langsung akan menyukarkan lagi tugas pihak keselamatan khususnya polis dalam mengawal kesesakan di atas jalan raya.
"Jika kedua-dua konsep ini dibenarkan akan ada alasan baru digunakan mereka yang mereka yang sukar mematuhi PKP ini, jadi buat masa ini kita hanya setuju e-bazar sahaja,” katanya.