PUTRAJAYA – Kerajaan hari ini menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang masih bersabar serta memberi sokongan terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa ketiga hari ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, meskipun telah sebulan terikat dengan PKP namun rata-rata rakyat memberikan sokongan tidak berbelah bahagi dalam usaha untuk memutuskan rantaian wabak koronavirus (Covid-19).
"Saya mewakili kerajaan ingin mengucapkan setinggi terima kasih kepada rakyat yang patuh pada PKP dan kita harapkan tiga peratus yang belum patuh dan masih berdegil segera patuh kepada PKP.
"Kita juga ingin mengucapkan terima kasih kepada petugas barisan hadapan seperti jururawat, doktor, kakitangan hospital, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), petugas pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Penjara, petugas media dan semua pihak yang tidak dapat saya sebutkan satu persatu.
"Terima kasih kerana selama ini membantu kerajaan dalam memutuskan rantaian Covid-19 ini,” katanya katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai PKP di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, tidak dilupakan juga petugas di belakang tabir khususnya pekerja pembersihan.
"Tanpa mereka (pekerja pembersihan) tidak dapat saya bayangkan bagaimana keadaan negara sepanjang tempoh PKP ini.
"Sekali lagi, saya menyeru kepada semua tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik, marilah sama-sama kita berganding bahu memutuskan rantaian Covid-19 sekali gus segera menamatkan PKP ini,” katanya.