Sesi persekolahan dibuka jika keadaan benar-benar pulih

Iklan
Mohd Radzi bercakap pada sidang media di bangunan Perdana Putra hari ini.
 - Bernama

PUTRAJAYA - Keputusan untuk membuka semula sesi persekolahan hanya akan dibuat apabila negara benar-benar pulih daripada wabak koronavirus (Covid-19).

Menteri Kanan (Kluster Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, pembukaan semula sesi persekolahan tidak akan dibuat secara tiba-tiba sebaliknya pengumuman tarikh akan dibuat selewat-lewatnya dua minggu sebelum sekolah dibuka.

Iklan
Iklan

"Pada peringkat ini, pembukaan sekolah hanya melibatkan kelas peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara.

"Apabila sekolah dibuka semula, semua aspek keselamatan, kebersihan dan pengawalan penularan jangkitan termasuklah amalan penjarakan sosial akan diberi keutamaan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Iklan

Beliau berkata, kementerian telah menyediakan Garis Panduan Pengurusan Sekolah Pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mesti dirujuk oleh pihak sekolah dan ibu bapa bagi memastikan soal proses pengajaran dan pembelajaran berlaku dalam keadaan selamat.

"Calon-calon peperiksaan SPM, SVM, STPM dan STAM pastinya tertanya-tanya sama ada terdapat perubahan kepada tarikh peperiksaan mereka. Saya ingin memaklumkan bahawa tarikh peperiksaan SPM dan SVM akan ditunda kepada suku pertama tahun 2021.

Iklan

"Untuk calon STPM, tarikh peperiksaan semester dua diubah kepada bulan Ogos 2020 manakala peperiksaan semester tiga akan diadakan dalam suku pertama tahun 2021. Peperiksaan STAM juga akan diadakan dalam suku pertama tahun 2021,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, menyedari bahawa penundaan tarikh peperiksaan itu akan memberi kesan kepada kemasukan ke peringkat pengajian tinggi.

Justeru katanya, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi bersetuju menangguhkan tarikh kemasukan baharu ke institusi pengajian tinggi (IPT) bagi program asasi, matrikulasi dan peringkat diploma sehingga Julai atau Ogos 2021 manakala program ijazah pada September atau Oktober 2021.