Johor tubuh SERC hadapi pasca Covid-19: MB

Iklan
Hasni Mohammad

JOHOR BAHRU - Kerajaan Negeri Johor menubuhkan sebuah jawatankuasa penasihat dalam bidang ekonomi dikenali sebagai Jawatankuasa Reformasi Ekonomi Negeri (SERC) sebagai pelan mereformasikan ekonomi Johor pasca Covid-19.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, SERC akan merangka dan memberi syor berbentuk Pelan Reformasi Ekonomi kepada Kerajaan Negeri Johor yang mengandungi polisi, prosedur dan hala tuju strategik.

Iklan
Iklan

Menurutnya, SERC mempunyai beberapa objektif termasuklah menasihati Kerajaan Negeri Johor berkenaan polisi, prosedur dan hala tuju strategik jangka masa pendek, sederhana dan panjang berkaitan ekonomi Johor.

"Selain itu, SERC juga berperanan menasihati kerajaan negeri berkenaan bidang ekonomi baharu, kerjasama serantau dan inisiatif berimpak tinggi bagi mewujudkan ekosistem ekonomi Johor yang lestari.

Iklan

"SERC juga akan bertindak memberikan syor penambahbaikan bagi Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030 dalam konteks pasca Covid-19," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hasni berkata, SERC ini akan dianggotai beberapa individu berpengaruh dan pemain-pemain industri yang berwibawa dalam bidang ekonomi serta jawatankuasa penasihat ini akan dipengerusikan oleh beliau sendiri.

Iklan

Jelasnya, laporan pelan reformasi ekonomi akan diserahkan kepada Menteri Besar Johor untuk diambil tindakan lanjut oleh beberapa agensi kerajaan negeri seperti Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri dan Bahagian Pemantauan dan Kesejahteraan Rakyat serta agensi-agensi yang berkaitan.

Dalam pada itu, Hasni berkata, Kerajaan Negeri Johor juga bersetuju untuk menubuhkan Bank Digital bagi memanfaatkan dan merancakkan ekonomi digital serta ekonomi masa hadapan di negeri ini.

Beliau berkata, kewujudan Bank Digital ini akan menjadikan sektor kewangan lebih inklusif dan berupaya untuk memberikan khidmat kewangan yang lebih berkualiti serta bertanggungjawab bagi semua segmen pasaran.

"Untuk makluman, perbankan digital terutamanya bidang teknologi kewangan atau fintech sedang berkembang pesat ketika ini. Pada tahun 2014, 52 peratus daripada penduduk Asia Tenggara menggunakan perkhidmatan perbankan dalam talian dan jumlahnya semakin meningkat kini," katanya.

Hasni berkata, Kerajaan Negeri Johor juga berhasrat untuk melihat dan menilai semula bagi memperkasakan Singapore-Johor-Indonesia (SIJORI) Triangle of Growth sekaligus meningkatkan pertumbuhan ekonomi serantau seperti SIJORI diaktifkan semula untuk meneroka semua potensi yang masih ada di Singapura, Johor dan Indonesia.