Jumlah tangkapan PKP fasa dua meningkat di Terengganu

Iklan
Roslee

KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu menahan seramai 242 individu sepanjang tempoh fasa satu dan dua pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Daripada jumlah itu, seramai 80 individu ditahan pada PKP fasa satu dan selebihnya 162 individu ditahan pada PKP fasa dua yang berakhir semalam.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, peningkatan itu adalah disebabkan kedegilan individu yang tidak mahu duduk di rumah dengan keluar merayau-rayau tanpa alasan munasabah.

"Ada antara individu yang ditahan dalam sekatan jalan raya (SJR) lebih tiga kali sehari dengan memberi alasan sama sahaja konon hendak membeli makanan dan barang keperluan.

Iklan

"Malah, lebih menyedihkan dalam rondaan terutama di kawasan kampung, ada individu yang selamba 'melepak' seperti hari-hari biasa dan apabila ditanya, mereka menjawab sekejap sahaja," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Roslee berkata, bagi tempoh PKP fasa dua, sebanyak 264 notis kompaun dikeluarkan daripada 175 laporan polis diterima kerana kesalahan ingkar PKP iaitu bermula pada 8 April hingga semalam.

Iklan

Katanya lagi, sehingga semalam, sebanyak 173 kertas siasatan berkait kesalahan ingkar PKP dibuka yang mana 111 daripadanya sudah dituduh di mahkamah manakala 20 tidak diambil tindakan (NFA) dan 42 lagi masih dalam siasatan.

Menurut Roslee, dalam fasa tiga bermula hari ini, pihaknya tidak akan lagi berkompromi dengan sebarang alasan terutama bagi individu yang dijumpai berada di luar selepas jam 8 malam kecuali kecemasan.

"Tindakan tegas ini selaras dengan kenyataan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri, yang mana individu dikesan melanggar arahan PKP bermula hari ini akan terus ditangkap dan dibawa ke balai untuk proses membuka kertas siasatan sebelum didakwa di mahkamah kerana ingkar PKP," katanya.

Selain itu, Roslee berkata, setakat hari ini, pihaknya tiada membuat sebarang tangkapan terhadap individu yang dikesan memalsukan surat pelepasan dan kebenaran perjalanan daripada majikan masing-masing.