Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) memberi jaminan tidak akan mengabaikan kebajikan pemain selepas mengesahkan berlaku sedikit kelewatan dalam pembayaran gaji di kem Lang Merah berikutan penularan pandemik koronavirus (Covid-19).
Setiausaha Kehormat KFA, Asmirul Anuar Aris, kerajaan negeri masih mempunyai dana mencukupi bagi menampung pembayaran gaji pemain setelah Covid-19 menjejaskan aktiviti ekonomi penaja skuad Lang Merah.
"Pengurusan KFA sememangnya sudah menjelaskan kepada pihak penaja untuk melunaskan gaji pemain sebagaimana dipersetujui bersama dalam terma dan syarat pembayaran.
"Namun, apabila berlaku Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada 18 Mac lalu, penaja memohon penangguhan pembayaran sehingga tamat gelombang pertama.
"Tapi sekali lagi malangnya, PKP dilanjutkan hingga ke peringkat ketiga sekali gus menyukarkan penaja memperjelaskannya kerana perniagaan mereka juga terjejas teruk akibat kekangan ekonomi yang berlaku.
"Namun mereka tetap berjanji akan memperjelaskan penajaan sebaik sahaja PKP tamat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, KFA turut mengesa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) khususnya Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebagai pengendali Liga Malaysia (Liga-M) memainkan peranan proaktif dalam menentukan arah tuju perjalanan liga yang terkesan akibat pandemik koronavirus (Covid-19).
Menurutnya, badan induk bola sepak negeri Kedah itu kini dalam keadaan tertanya-tanya status saingan Liga-M yang tertangguh sejak 18 Mac lalu akibat Covid-19.
Tegasnya, ketiadaan perancangan jelas MFL sebagai pengendali liga dalam situasi Covid-19 secara tidak langsung menyukarkan KFA melakukan sebarang perundingan dengan pemain.
"MFL dan FAM masih lagi belum menyediakan kata putus bilakah tarikh akan bermula kembali liga setelah bermesyuarat berkali-kali?
"Keputusan menagguhkan liga tiada kata putus. Tarikhnya masih dalam perbincangan yang sentiasa ditangguh dari satu mesyuarat kepada satu mesyuarat yang akan datang.
"Jadi bagaimana KFA termasuk pengurusan di setiap negeri atau badan gabungan di seluruh Malaysia boleh menstruktur kewangan pasukan masing-masing serta mengadakan perbincangan dengan pemain?," katanya.
Jelas Asmirul, FAM khasnya MFL perlu menjaga kebajikan negeri-negeri selaku badan gabungan ketika negara sedang dilanda pelbagai musibah.
"FAM dan MFL dalam situasi sekarang tidak hanya boleh lagi sekadar menjadi perantara kepada sebuah negeri.
" Jika mereka sendiri gagal mencari kos bantuan untuk menjaga kebajikan negeri yang teruk dilanda musibah apalah sangat keupayaan setiap negeri bersama penaja masing-masing," katanya.
Pada masa sama, Asmirul turut terkilan tindakan Johor Darul Ta'zim (JDT) mencampuri urusan ahli gabungan seolah-olah melebihi kuasa FAM.