PKP: Tatacara baharu majlis akad nikah di Perak

Iklan

IPOH - Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menetapkan tatacara baharu pelaksanaan majlis akad nikah di negeri itu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, majlis akad nikah perlu dilaksanakan di Pejabat Agama Islam Daerah dan tidak dibenarkan di premis persendirian atau di tempat awam seperti masjid, surau, dewan atau tempat-tempat awam yang lain.

Iklan
Iklan

"Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah atau wakilnya hendaklah menyediakan sebuah bilik khas bagi menjalankan majlis akad nikah. Proses nyah cemar hendaklah dilakukan mengikut keperluan dari semasa ke semasa.

"Majlis yang dijalankan oleh Jurunikah kariah berkenaan hendaklah dikawal selia oleh Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah atau wakilnya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Iklan

Menurutnya, Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah bertanggungjawab memastikan enam perkara yang ditetapkan dipatuhi semasa majlis itu berlangsung.

"Perkara itu adalah Rukun Nikah, membaca taklik selepas akad nikah, tiada berjabat tangan ketika lafaz ijab kabul dan menjaga jarak satu meter setiap orang yang hadir.

Iklan

"Selain itu, tiada sebarang upacara lain seperti membatalkan air sembahyang, sarung cincin, bergambar dan lain-lain dilakukan. Individu perlu memakai penutup muka dan pencuci tangan untuk keperluan pihak-pihak terlibat," katanya.

Mohd Yusop berkata, majlis perlu dilaksanakan dalam tempoh 30 minit melibatkan tiga sesi setiap hari.

"Sesi bermula jam 9.30 pagi hingga 10 pagi, 11.30 pagi hingga 12 tengah hari dan 2.30 petang hingga 3 petang. Majlis itu hanya dihadiri enam pihak yang diwajibkan.

"Dokumentasi dan pengeluaran Sijil Perakuan Nikah hendaklah ditangguhkan dan disempurnakan selepas tamat tempoh PKP," katanya.

Katanya, majlis berkenaan boleh dibatalkan sekiranya tatacara itu tidak dipatuhi atau berdasarkan arahan daripada Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Perak.