PASIR PUTEH - Seorang ibu terpaksa meneruskan aktiviti perniagaan kecil-kecilannya menjual minuman dan makanan ringan sepanjang perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memastikan anak bongsunya, Muhammad Muhaimin,4, yang koma akibat jangkitan kuman pada otak sejak kecil tidak kelaparan.
Tanpa berselindung, Yasniza Yaacub, 41, mengakui anak bongsunya itu bergantung sepenuhnya kepada susu jenis Pedisure yang berharga RM165 setin untuk mendapatkan tenaga bagi meneruskan hidup selain ubat-ubat dibekalkan oleh pihak hospital dalam melawan penyakit berkenaan.
Yasniza berkata, sejak PKP dilaksanakan pendapatan keluarga terjejas teruk apabila suami, Rusmawi Ab Sattar,42, yang bekerja buruh tidak dapat keluar dari rumah untuk mencari rezeki.
"Bila suami tidak dapat keluar bekerja, terpaksalah saya meneruskan aktiviti jualan secara kecil-kecilan di hadapan rumah bagi mendapatkan wang bagi memastikan stok susu Muhammad Muhaimi tidak terputus.
"Namun, sejak PKP saya dan suami berdepan kesukaran apabila jualan sedikit menyusut malah pernah tiada pelanggan sepanjang hari.
"Namun kami tetap 'tenang' menempuh ujian ini kerana percaya rezeki dari ALLAH tetap ada, asalkan kita usaha," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di Kampung Alor Batu, Selising di sini.
Menurutnya, setiap bulan dia dan suami memerlukan sekurang-kurangnya RM1,000 untuk perbelanjaan susu dan lampin pakai buang Muhammad Muhaimi.
Katanya, selain itu dia dan suami terpaksa menanggung tiga lagi anak-anak mereka berusia 18 hingga 11 tahun yang masih lagi bersekolah.
"Jika suami keluar bekerja, saya terpaksa 'berehat' daripada berniaga kerana Muhammad Muhaimi memerlukan tumpuan penuh.
"Kami sedikit lega apabila mendapat bantuan bulanan berjumlah RM350 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.
Yasniza berkata, bagaimanapun dia dan suami perlu tetap berusaha bagi memastikan dapur rumah mereka terus 'berasap'.
Katanya, hal ini kerana dia dan suami tidak sanggup melihat anak-anak mereka membesar dalam keadaan serba kekurangan.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Yasniza (03015-410000- 64366).