KUALA TERENGGANU - Tindakan seorang lelaki yang memandu kereta tanpa sebarang tujuan selain cuba melarikan diri dalam rondaan Op Covid-19 di kawasan Bukit Tunggal, Kuala Nerus, membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman dua minggu penjara oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Tertuduh, Abdul Hafiz Ab Rahim, 26, turut dikenakan hukuman denda RM500 dan jika gagal menjelaskannya, dia berdepan hukuman penjara tambahan dua minggu lagi.
Majistret Noor Mazrinie Mahmood menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah bergerak dari Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Bukit Tunggal, Kuala Nerus ke suatu tempat yang lain iaitu persimpangan Taman PAKR Bukit Tunggal, Kuala Nerus tanpa sebarang tujuan.
Tertuduh melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, pada jam 9.30 malam, 13 April lalu.
Dengan itu, tertuduh mengaku melakukan kesalahan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Lee Ka Full meminta mahkamah memberikan hukuman setimpal terhadap tertuduh atas faktor kepentingan awam yang melebihi kepentingan peribadi, ketika negara sedang menghadapi masa krisis.
"Hukuman yang dijatuhkan diharap dapat memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia bahawa kerajaan Malaysia sedang dalam usaha untuk membendung pandemik Covid-19 yang semakin serius.
"Ditambah pula negara sekarang berada dalam tempoh Pergerakan Kawalan Pergerakan (PKP) fasa 3, diharap rakyat serius dengan arahan dikeluarkan kerajaan sepanjang tempoh PKP ini," katanya.
Tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mazlan Md Zein.