PRK Cameron Highlands: SPRM ambil keterangan tujuh individu

Iklan
SPRM

IPOH - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merakam percakapan tujuh individu sejak Ahad lepas, bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pemberian wang oleh Pakatan Harapan (PH) seperti yang ditularkan melalui beberapa keping gambar dalam media sosial.

Beberapa keping gambar menunjukkan beberapa individu memakai baju dengan logo PH didakwa mengagihkan wang kepada penduduk Cameron Highlands yang kini dalam tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK), mula tular di sosial media sejak Ahad lepas.

Iklan
Iklan

Pengarah SPRM Perak, Datuk Zainul Darus mengesahkan tujuh individu yang dirakam percakapan, termasuk wanita di dalam gambar berkenaan.

"Siasatan kita laksanakan seperti biasa dan saya mohon supaya tidak wujud spekulasi mengenai hal ini, di mana kita tidak pasti wujud kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 pindaan 2012 dan Akta SPRM 2009.

Iklan

"Berdasarkan pada gambar itu kita memanggil saksi berkaitan, siapa yang ada dalam gambar itu yang dapat – kita ‘pick up’ sebagai saksi untuk sahkan wujudnya kejadian itu, dan mereka berada di tempat itu pada tarikh berkenaan," katanya pada sidang media di Pejabat SPRM Perak di Meru di sini hari ini.

Menurut Zainul, setakat ini pihak SPRM menerima kira-kira lima aduan daripada orang awam dan anggota politik mengenai perkara itu. - Bernama

Iklan