KUALA LUMPUR - Seramai 354 orang rakyat Malaysia yang terkandas di Turki dijadualkan berlepas pulang malam ini dan dijangka tiba di tanah air pada jam 10.20 pagi esok (Jumaat).
Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, ia susulan kelulusan khas kerajaan Turki untuk satu penerbangan dari Malaysia mendarat di Istanbul dan seterusnya membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas dan mengalami kesulitan di negara itu.
"Mereka terdiri daripada pelancong atau pelawat jangka pendek manakala selebihnya merupakan rakyat Malaysia yang telah terjejas ekoran sekatan-sekatan yang dikenakan oleh pihak berkuasa Turki bagi mengawal penularan pandemik Covid-19,” katanya pada sidang akhbar khas perkembangan terkini rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara di sini hari ini.
Mengenai perkembangan pelajar Malaysia di luar negara, Kamarudin menyarankan mereka supaya mematuhi nasihat yang dikeluarkan oleh Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri supaya kekal berada di negara yang sedang mereka diami.
"Dalam hal ini, Wisma Putra turut menyarankan supaya para pelajar Malaysia di luar negara agar mematuhi nasihat ini. Ibu bapa dan para pelajar diminta bertenang, tidak panik, menjaga kesihatan diri dan sentiasa berhubung rapat dengan Perwakilan Malaysia di tempat mereka belajar di luar negara,” katanya.
Dalam pada itu Kamarudin turut memaklumkan kerajaan Malaysia bersetuju memberi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Bosnia dan Herzegovina yang terkesan teruk akibat kekangan peralatan dan perubatan dalam menghadapi pandemik ini.
"Alhamdulillah, sumbangan itu dihantar melalui penerbangan khas Air Asia dan telah pun selamat mendarat di Sarajevo pada jam 10.30 malam waktu tempatan semalam,” katanya.
Sementara itu Kamarudin berkata, kerajaan Montenegro serta Bosnia dan Herzegovina bersetuju membantu memudahkan urusan Wisma Putra untuk membawa pulang lapan orang rakyat Malaysia yang terkandas di Montenegro.
"Insya-ALLAH mereka akan tiba di Malaysia pada hari Jumaat, jam 10.20 pagi. Kita doakan semoga semua urusan berjalan lancar,” katanya.
Kamarudin juga memaklumkan, atas dasar hubungan erat di antara Malaysia dan Palestin, Kementerian Luar Negeri dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan sedang menyelaraskan bentuk bantuan atau sumbangan yang boleh dihulurkan kepada penduduk Palestin yang terjejas akibat pandemik Covid-19. - Bernama