PUTRAJAYA- Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mahu pantri di fasiliti kesihatan dibersihkan dan disanitasi dari semasa ke semasa bagi mencegah berlakunya penularan wabak koronavirus (Covid-19) di ruang yang terhad itu.
Beliau melahirkan kebimbangan kemungkinan berlaku jangkitan Covid-19 di pantri hospital berikutan ramai petugas perubatan menggunakan pantri yang mempunyai ruang terhad untuk berehat.
Iklan
Iklan
"Ramai yang guna pantri, kadar jangkitan mungkin berlaku di situ antara tiga daripada 50 pengguna. Maka sudah pastinya, pantri di fasiliti kesihatan perlu dibersihkan dan disanitasi dari semasa ke semasa.
"Itu antara langkah kita ambil iaitu elakkan dari berada di kawasan atau ruang yang sempit contohnya pantri, kedua elakkan tempat sesak dan bersemuka serta ada penjarakan selamat," katanya.
Noor HIsham turut menegaskan petugas kesihatan yang bekerja di wad Covid-19 atau unit rawatan rapi (ICU) tidak dijangkiti wabak berkenaan berikutan menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE).
Pada 8 April lalu, KKM mengesahkan 181 petugas kesihatan positif Covid-19 dan dua daripadanya maut akibat jangkitan wabak tersebut.