Tottenham Hotspur dijangka berdepan krisis penyerang paling dahsyat sekiranya Harry Kane mengambil keputusan meninggalkan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
Tonggak The Spurs, Lucas Moura berkata, ia terbukti apabila skuad The Lilywhites terpaksa mengharungi kemarau gol setelah kapten skuad kebangsaan England itu mengalami kecederaan.
Menurutnya, berdasarkan situasi terkini, Spurs perlu segera bertindak bagi mengekalkan khidmat Kane yang kini berada dalam radar beberapa kelab gergasi Eropah menjelang musim perpindahan akan datang.
"Agak sukar untuk memperkatakan perihal status perpindahan seseorang pemain itu kerana ia lebih bersifat peribadi. Tetapi kelab perlu melakukan sesuatu dalam situasi Kane.
"Saya yakin bahawa setiap musim pihak pengurusan menerima pelbagai tawaran daripada kelab besar untuk mendapatkan khidmat Kane.
"Biarpun bukan saya yang memutuskan Kane kekal atau berpindah tapi saya masih mahu beraksi bersamanya pada musim depan," katanya.
Sebelum ini, Kane memberi bayangan awal bahawa dia sedia meninggalkan Spurs sekiranya kelab itu tidak mempunyai perancangan meraih sebarang kejuaraan pada musim depan.
Menurut laporan media baru-baru ini, Manchester United berminat mendapatkan Kane apabila Pengerusi Spurs, Daniel Levy dikatakan bersetuju melepaskannya ke Old Trafford dengan yuran perpindahan tertinggi dunia sebanyak 200 juta pound (RM1.07 bilion).
"Bukan mudah menemui pemain memiliki karakter dan kualiti seperti Kane yang konsisten sejak beberapa musim lalu. Semua orang tahu Kane pemain hebat dan sangat penting bagi pasukan.
"Dia penyerang kami dan menjaringkan gol hampir setiap perlawanan. Saya yakin pengurus, Jose Mourinho akan mempertahankan Kane dengan apa cara sekalipun," ujar Moura.
Kane menjadi 'mesin gol' utama Spurs dalam lima musim terakhir dengan musim ini dia sudah mencetak 17 gol sebelum mengalami kecederaan otot pada Januari lalu.