SHAH ALAM – Semua program Ihya' Ramadan melibatkan masjid dan surau dengan jemaah dan orang ramai termasuk pengedaran bubur lambuk, program buka puasa, memasak dan mengagih juadah berbuka puasa secara pandu lalu tidak dibenarkan di Selangor.
Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad berkata, keputusan tersebut tertakluk kepada ketetapan terbaharu yang akan dikuatkuasakan pihaknya dari semasa ke semasa.
Menurutnya, mana-mana kutipan bagi penganjuran program Ihya' Ramadan diterima masjid dan surau sebelum ini boleh ditangguhkan penggunaannya untuk tahun berikutnya.
"Masjid dan surau boleh meneruskan program sumbangan prihatin kepada ahli kariah termasuk anak yatim yang memerlukan berdasarkan keupayaan kewangan masing-masing.
"Kaedah penyampaian adalah tertakluk garis panduan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dikeluarkan JAIS pada 2 April lalu,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Katanya, bagi memastikan rumah ibadat turut terlibat secara aktif dalam mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19), pihaknya menasihatkan jawatankuasa menyalurkan sumbangan tunai ke akaun penerima secara 'electronic fund transfer' (EFT) atau memindahkan wang secara dalam talian.
Dalam pada itu, Mohd Shahzihan berkata, laungan azan hendaklah terus berkumandang bagi menandakan waktu solat, namun selepas azan Magrib dan Isyak sepanjang bulan Ramadan, bilal hendaklah membuat pengumuman meminta semua ahli kariah menunaikan solat sunat tarawih di rumah.
"Hanya imam, bilal dan siak yang bertugas boleh solat tarawih yang hukumnya sunat muakkad di masjid dan surau sepanjang Ramadan, namun menggunakan pembesar suara di dalam ruang solat sahaja.
"Tidak dihadkan jumlah rakaat solat tarawih sama ada lapan atau 20 rakaat tapi ahli kariah hendaklah solat di rumah masing-masing.
"Satu panduan berbentuk Nota Khas Panduan Pelaksanaan Solat Sunat Tarawih di rumah dikeluarkan Jabatan Mufti Negeri Selangor dan JAIS akan dihebahkan dalam masa terdekat,” katanya.
Menurutnya, imam, bilal dan siak boleh melaksanakan tadarus al-Quran selepas selesai menunaikan solat tarawih dengan menggunakan pembesar suara luar menara namun tidak melebihi jam 10.30 malam.
Katanya, tadarus al-Quran pada waktu-waktu lain boleh dibuat namun tidak boleh menggunakan pembesar suara luar.
"Pengurus masjid boleh mengambil inisiatif mengadakan tazkirah dalam talian melalui 'live' Facebook masjid masing-masing pada waktu yang difikirkan sesuai seperti sebelum atau selepas Zuhur sebelum azan Isyak atau selepas solat sunat tarawih.
"Masjid daerah dan masjid diraja boleh memasang bacaan ayat al-Quran 15 minit sebelum azan Maghrib menggunakan pembesar suara luar pada kadar ‘mid volume’,” katanya.
Terdahulu beliau memaklumkan JAIS mengambil ketetapan tersebut susulan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melalui kenyataan akhbar disiarkan Isnin lalu.
Dalam kenyataan itu, baginda menzahirkan keprihatinan terhadap kesejahteraan 6.5 juta penduduk di Selangor yang mungkin akan terdedah dengan jangkitan wabak Covid-19 jika langkah pencegahan tidak diambil dengan bersungguh-sungguh.
Sebelum ini, Sultan Sharafuddin memperkenankan tempoh penangguhan solat Jumaat, berjemaah dan aktiviti ceramah serta kuliah di semua masjid dan surau di negeri ini dilanjutkan sehingga 31 Mei ini.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat khas atas titah baginda bersama Majlis Agama Islam Selangor, Jabatan Mufti Negeri Selangor dan JAIS bagi mendapatkan maklum balas terkini berhubung ancaman wabak Covid-19 di negeri ini.
Bagaimanapun katanya, sekiranya wabak itu dapat dibendung dan diatasi dalam satu tempoh yang lebih awal, maka satu arahan baharu akan dikeluarkan.
ARTIKEL BERKAITAN: Selangor lanjut tangguh solat di masjid, surau hingga 31 Mei