SEBULAN berlalu, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memasuki fasa yang ketiga. Sebahagian besar rakyat yang sebelum ini panik nampaknya sudah mula terbiasa dengan perintah separa berkurung itu.
Begitu juga dengan golongan peniaga. Sebahagian besarnya yang sebelum ini gelisah melihat perniagaan merudum mula menerima kenyataan situasi sukar yang sedang dihadapi, terutamanya peniaga kecil.
Segelintirnya dilihat mula bangkit meneruskan kembali perniagaan yang sebelum ini terjejas akibat penularan koronavirus (Covid-19). Sebahagiannya mengubah model perniagaan daripada fizikal ke dalam talian manakala sebahagiannya pula menukar strategi pernigaan dengan menjual produk diperlukan seperti topeng muka, hand sanitizer ataupun sarung tangan getah.
Masuk fasa kedua PKP, ramai yang mula tersenyum melihat perniagaan kembali beroperasi seperti biasa. Malah, ada yang terperanjat apabila jualan mendadak naik berlipat kali ganda berbanding sebelumnya.
Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho sebelum ini pernah berkata, beliau semakin ramai orang membeli-belah dalam talian dan permintaan untuk barangan keperluan harian di Shopee telah mencatatkan peningkatan sewaktu Covid-19 mula-mula menular.
Kata-kata beliau itu jelaskan menunjukkan dunia perniagaan masih boleh berjalan seperti biasa tetapi perlu sejajar dengan situasi semasa.
Macam sekarang ini, platform dalam talian adalah penyelesaiannya. Justeru, peniaga digalakkan menggunakan platform dalam talian berbanding bertahan menjual produk melalui platform tradisional seperti kedai.
Beberapa peniaga ditemu ramah sebelum ini turut mengakui platform dalam talian mampu mengembalikan daya operasi perniagaan mereka dalam keadaan penularan Covid-19.
Seorang peniaga dalam talian dari Putrajaya, Nur Alwani Mohd Azlim berkata, beliau berjaya meningkatkan jualannya sebanyak dua kali ganda dalam tempoh PKP hasil kerja kerasnya mempromosikan produknya menerusi media sosial.
Walhal pada mulanya beliau sendiri hampir menyerah kalah apabila melihat jualan produk kecantikannya merudum teruk sewaktu pelaksanaan fasa pertama PKP pada pertengahan Mac.
Ternyata, perniagaan masih boleh beroperasi dalam situasi getir seperti hari ini. Cumanya peniaga perlu bijak mengatur strategi membuat promosi dan pemasaran. Paling penting, mereka kena pastikan bekalan produk yang dijual mencukupi bagi memenuhi permintaan pengguna.