Atasi kelemahan negara bangun sektor tanaman makanan

Iklan
Gambar kecil: Prof Datin Paduka Dr Fatimah Arshad

MENTENTERAMKAN minda awam bahawa bekalan makanan tidak akan terjejas dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan perkara mudah kerana makanan diperlukan dalam semua keadaan terutama semasa ekonomi dicabar pandemik Covid-19.

Pengumuman Perdana Menteri memperuntukkan RM1 bilion dana untuk makanan tepat dan berpotensi untuk menjanakan impak besar kepada negara kerana jika nyawa mudah diragut oleh virus Covid-19, bekalan makanan juga mudah terputus apabila sistem normalnya diganggu.

Iklan
Iklan

Dibebani dengan prasangka ketakutan ke atas Covid-19 yang berlegar liar ini, orang awam turut bimbang bekalan makanan mereka di dapur. Ini psikologi normal. Apabila terkurung dari dunia luar, perkara pertama diminda, apakah bekalan makanan mencukupi untuk keluarga. Itu reaksi naluri normal manusia.

Apabila berlaku pembelian panik, ini menyebabkan 'kurangan' atau 'defisit' bekalan makanan dalam jangka masa pendek. Jika berterusan, apabila permintaan melebihi permintaan, peniaga akan meningkatkan harga. Siapa dulu dia dapat dan siapa kaya dia sempat. Mangsa ialah si miskin dan si penyabar yang tidak berebut.

Iklan

Sebelum perintah berkurung, bekalan makanan Malaysia adalah stabil dan mencukupi tetapi lonjakan pembelian panik menyebabkan tidak dapat dipenuhi oleh penawaran. Ini tidak bermakna bekalan tidak mencukupi.

Wujud jurang antara jangka masa makanan yang dikehendaki dengan inventori pengeluaran. Kedua-duanya tidak serentak. Ia bukan masalah penawaran tetapi masalah logistik.

Iklan

Yang berkurang adalah makanan di restoran atau kedai makan tetapi penggunaan per kapita tidak banyak berubah.

PKP juga telah menjejaskan rantaian bekalan apabila waktu penjualan dibataskan, pergerakan dipantau, dan hanya beberapa pusat jualan yang memiliki bangunan yang tetap sahaja dibenarkan. PKP perlu langkah ini tetapi jangan sampai petani membuang hasil tanaman mereka dan harga tinggi di pasaran pengguna.

Kedua gejala ini mencabar kemampuan sistem bekalan. Oleh kerana pandemik ini melanda seantero dunia, rata-rata semua pengguna akan takut makanan tidak mencukupi.

Untuk mengelakkan kurangan makanan, lazimnya negara akan memilih untuk melindung eksport makanan seperti larangan ke atas eksport atau mengenakan cukai eksport yang tinggi atau mengeksport beberapa gred komoditi sahaja. Jika ini berlaku, bekalan dalam pasaran dunia berkurang tetapi permintaan tetap berterusan.

Antara negara yang telah merancang menyekat eksport adalah Vietnam (pengeksport beras kedua terbesar di dunia). Vietnam adalah sumber import utama untuk beras Malaysia. Kazakhstan, pengeluar gandum telah menyekat eksport komoditi ini selain bawang, lobak dan ubi kentang.

Rusia sebagai pengeluar gandum terbesar dunia juga mungkin melindung industri gandumnya. Amerika juga menunjukkan polisi yang tidak menentu kerana konflik perdagangannya dengan China.

Pengalaman 2008 mengajar kita apabila negara luar mula melindung sektor makanan masing-masing, harga bukan sahaja melonjak besar tetapi sangat tidak stabil.

Bermakna, Malaysia akan mengalami masalah untuk mendapatkan bekalan dari dunia, dan perlu diimport pada paras harga yang tinggi. Kekurangan makanan di dalam negeri akan membawa kepincangan sosial dan politik.

PKP juga mempengaruhi kelicinan perjalanan rantaian bekalan, logistik dan pengeluaran. Pengeluaran sayur-sayuran dan buah-buahan memerlukan buruh yang intensif. Sebahagian besar kebun-kebun sayur malahan sawah padi di Malaysia menggunakan buruh import.

Pengeluar mungkin mengalami kesukaran untuk mendapat buruh daripada luar negara kerana negara lain juga melaksanakan perintah berkurung. Pergerakan buruh yang dipantau menjejaskan pengeluaran.

Apa yang lebih mencabar adalah kelemahan Malaysia dalam membangunkan sektor makanannya walaupun ia memiliki faedah berbanding yang dicemburui oleh negara lain.

Malaysia memiliki cahaya suria yang banyak, begitu juga hujan, biodiversiti yang kedua terbesar selepas Brazil, air dan tanah mencukupi, GDP per kapita yang ketiga tinggi di ASEAN. Tetapi sektor makanannya mundur dan bergantung kepada import semenjak 1950-an sehingga kini.

Kajian World Bank baru-baru ini bahawa kemunduran sektor makanan kita mendedahkan kelemahan dalam perancangan negara dan impaknya kepada sektor. Antaranya, kegagalan Malaysia menggembelingkan sumbernya.

Kemunduran sektor makanan menjauhkan jurang antara golongan kaya dan miskin. Pergantungan besar ke atas import yang murah melemahkan daya inovasi dalam sektor ini.

Pergantungan ke atas buruh asing dan input dari luar negara juga membantutkan inovasi dan pertumbuhan. Dan yang paling nyata aliran keluar mata wang asing, bukan setakat untuk membayar import tetapi juga membayar upah buruh asing (Indonesia, Bangladesh, Myanmar) tahun demi tahun.

Maka memang tepat sekali sektor ini harus disuntik dana untuk meremajakan sektor yang mundur ini.

Cadangan atasi kelemahan Malaysia

Pertama penstrukturan semula dan pengukuhan R&D. Agenda R&D makanan perlu disusun semula dan dipertingkatkan prestasi dan impaknya. Malaysia boleh belajar daripada beberapa negara maju seperti Thailand, Taiwan, China, Holland mengenai teknologi terkehadapan dalam pengeluaran dan pemasaran.

Susun semula agenda R&D ke arah mengatasi masalah asas yang mengekang sektor selama ini. Ini merangkumi, hasil yang rendah, kekurangan benih tanaman dan baka ternakan, kekurangan mesin dan jentera kecil untuk pekebun, kerugian lepas tuai yang tinggi, logistik yang usang, mutu dan standard yang masih rendah, penggunaan baja kimia yang merosak tanah dan air, pertanian bandar dan pelbagai lagi. Ini bukan baharu, tetapi perlu diremajakan semula.

Peruntukan besar perlu diberi kepada aplikasi teknologi termaju dan ICT untuk meningkatkan hasil, pengeluaran maju, cekap dan lestari.Banyak pakej yang boleh dicontohi, cuma perlu diubahsuai mengikut keperluan tempatan.

Kedua, seperti di Singapura, modal insan adalah kekuatan negara tersebut. Malaysia memerlukan beberapa kolej teknikal dan pusat kecemerlangan tambahan untuk menjanakan pekerja mahir dan teknologi termaju sektor makanan, terutama di negeri Sabah dan Sarawak yang kaya dengan sumber alam. Ini termasuk latihan ke atas ejen pengembangan supaya lebih terlatih dan dilengkapi dengan pengetahuan teknologi moden.

Ketiga, pengukuhan institusi pertanian terutama ke arah mendayaupayakan petani dengan ilmu, teknologi dan keusahawanan. Supaya mereka mampu mengemudikan ladang dan kebun mereka dengan teknologi yang termaju dan memacu sendiri koperasi atau Pertubuhan Peladang dan tidak lagi oleh lantikan politik. Masalah pemilikan tanah juga perlu diatasi untuk melicinkan pengeluaran.

Keempat, prasarana masih diperlukan terutama di desa dan kawasan pengeluaran. Bukan setakat prasarana fizikal tetapi juga keperluan komunikasi dan internet untuk membantu petani dan peniaga.

Pelaburan ke atas sektor makanan tidak pernah merugikan. Malah, ia membawa faedah pelbagai. Selain faedah peluang pekerjaan, pendapatan, makanan diperlukan untuk jaminan bekalan makanan dan nutrisi penduduk.

Tanaman makanan juga memperkasakan biodiversiti tempatan. Ia mendinamikkan komuniti desa. Secara kecil-kecilan, ia membantu pemuliharaan alam semula seperti tasik, sungai dan hutan sekeliling kebun.

Ini berbeza dengan kelapa sawit yang meratakan tanah lantas merosakkan landskap dan tumbuhan asal kawasan tersebut. Tanaman makanan juga mewarnakan landskap dengan indah. Tanaman campuran pula adalah sangat mesra-ekologi dan lestari.

* Profesor Datin Paduka Dr Fatimah Mohamed Arshad ialah Pakar Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM)