RAKYAT Malaysia di Amerika Syarikat (AS) menyuarakan kebimbangan dengan keadaan yang mungkin bertambah buruk kerana negara dengan penduduk ketiga teramai di dunia itu merekodkan lebih banyak kematian akibat koronavirus (Covid-19) berbanding negara lain.
Bagaimanapun, mereka tetap berharap agar pandemik tersebut akan berakhir.
Menurut Center for Systems Science and Engineering (CSSE) di Johns Hopkins University setakat jam 8 malam tadi (waktu Malaysia), jumlah penduduk AS yang positif Covid-19 adalah 639,664 kes dengan 30,985 kematian termasuk 10,899 kematian di New York, jumlah tertinggi di negeri-negeri lain di AS setakat ini.
Jurutera kualiti proses, Adli Shah Adnan, 29, yang tinggal di bandar Iowa berkata, kehidupan berjalan seperti biasa kerana beliau masih bekerja dari rumah tetapi tentu sahaja terdapat beberapa masalah yang dihadapi semasa pandemik itu.
"Saya rasa kunci untuk fokus adalah kesihatan mental. Saya agak ekstrovert dan peramah, jadi untuk melawannya, saya masih berjumpa rakan-rakan ketika berjalan-jalan selagi ia sejauh enam kaki (1.82 meter) dan kurang daripada 10 orang.
"Secara peribadi, saya bekerja dari rumah dan akan berjalan kaki di sekitar kejiranan dan taman berdekatan (yang masih dibuka kecuali taman permainan) sambil menjaga jarak sosial,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.
Menurut Adli Shah, kebanyakan negeri telah menetapkan arahan shelter-in-place (duduk di rumah) yang sama dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia tetapi tanpa kuasa penuh daripada pihak berkuasa.
"Perniagaan yang bukan keperluan utama ditutup, restoran hanya membenarkan pengambilan atau penghantaran, sekolah ditutup, tiada perhimpunan lebih daripada 10 orang dan mengamalkan jarak sosial sejauh enam kaki.
"Di Iowa, Gabenor tidak menetapkan arahan shelter-in-place tetapi banyak langkah diambil yang sama dengan arahan itu,” katanya.
Jaga jarakSementara itu, ahli psikoterapi Ezza Melina Mustaffa, 28, yang tinggal di Chicago, Illinois berkata, keadaan wabak itu di AS terus meningkat dan seluruh negara berada dalam fasa percepatan pandemik yang agak menakutkan.
"Terdapat kekurangan peralatan perlindungan diri seperti topeng N95 dan hospital juga mengalami kekurangan katil dan ventilator.
"Gabenor Illinois, JB (Jay Robert) Pritzker mengeluarkan arahan shelter-in-place di seluruh negeri untuk semua penduduk Illinois yang bermula 21 Mac lepas,” katanya dan menambah arahan itu akan berakhir 30 April dengan ramalan ia mungkin dilanjutkan.
Perintah itu, katanya, bermaksud wajib bagi semua orang untuk duduk di rumah dengan pengecualian bagi mereka yang bekerja dalam perkhidmatan perlu dan di bawah perintah itu mereka dibenarkan berjalan kaki ke kedai runcit, stesen minyak dan farmasi.
"Daripada pemerhatian saya, orang ramai mengikuti arahan itu dan mengamalkan jarak fizikal.
"Saya masih berlari atau berjalan-jalan di luar dan melihat orang lain juga melakukan perkara sama sambil menjaga jarak antara mereka.
"Bukan itu sahaja, saya juga perasan jalan-jalan di Chicago senyap sunyi dan orang ramai mula memakai penutup hidung dan mulut ketika berada di luar. Melihat bandar raya yang sibuk kini kosong begitu mengerikan dan menakutkan,” katanya.
Ditanya sama ada beliau mengikuti perkembangan Malaysia memerangi Covid-19, katanya, beliau mengikutinya tetapi mengehadkan pembacaan berita pada waktu ini sebagai langkah untuk menguruskan tekanan dan kegelisahannya sendiri.
Mengenai kelangsungan hidupnya di AS, Ezza Melina berkata, beliau melakukan yang terbaik untuk kekal selamat dan sihat.
"Rakan serumah saya tidak keluar rumah selama beberapa minggu dan kami membeli barang keperluan untuk dua minggu dan memastikan kami membeli makanan atau bekalan yang cukup tanpa berlebihan dan peka dengan keperluan orang lain juga.
"Rak-rak di pasar raya untuk barang yang tidak mudah rosak masih kosong. Kali terakhir kami lihat, jumlah pasta, tepung, barang dalam tin dan beras yang ada di pasar raya juga agak terhad,” katanya.
Sebagai profesional dalam kesihatan mental, Ezza Melina berkata, beliau melihat kesan psikologi trauma kolektif ini dan pada masa sama beliau juga mengalaminya, menjadikannya unik dan sangat sukar.
Ryan Chong, 31, yang tinggal di bandar raya New York berkata, kini sudah lima minggu New York berada dalam mod kuarantin dengan kebanyakan tempat ditutup kecuali perkhidmatan perlu.
Beliau berkata, kebanyakan orang memakai penutup hidung dan mulut dan ada yang memakai sarung tangan, manakala beberapa tempat di bandar raya New York seperti Times Square atau Fifth Avenue tidak kelihatan ramai pejalan kaki atau kenderaan.
"Saya menyibukkan diri. Saya tidak mempunyai kerja selama lima minggu walaupun industri saya boleh beroperasi dengan sistem bekerja dari rumah, kejatuhan ekonomi mendesak banyak kerja tertangguh dan menyebabkan banyak pekerjaan dibatalkan.
"Justeru, saya menggunakan pencetak 3D di rumah untuk membuat pelindung muka untuk profesional perubatan. Saya telah menghantarnya ke dua hospital setakat ini dan kumpulan ketiga sedang disiapkan,” kata pemodel 3D bebas itu sambil menjelaskan beliau menerima sumbangan melalui hospital untuk membuat pelindung muka tetapi tidak membuat sebarang keuntungan daripadanya.
Beliau juga berharap semuanya akan kembali normal walaupun mengakui hakikatnya sukar untuk melakukannya.
"Tidak mungkin kita dapat kembali kepada apa yang kita anggap normal sebelum ini. Saya juga berharap kerajaan akan belajar daripada kesilapan dan mengambil langkah-langkah untuk memastikan pandemik akan datang tidak akan tersebar luas seperti masa ini,” katanya. - Bernama