BEKAS penjaga gol Manchester United, Mark Bosnich yakin pemain kebangsaan Perancis, Paul Pogba akan terus kekal bersama skuad The Red Devils itu.
Bosnich berkata, pihaknya yakin kehadiran Pogba akan membantu United khususnya dengan membentuk gandingan mantap bersama 'bintang' baharu, Bruno Fernandes kelak.
Malah dengan perbincangan bersama gergasi La Liga, Real Madrid dan gergasi Serie A, Juventus yang masih belum dimuktamadkan, Bosnich yakin Pogba akan terus beraksi di Old Trafford.
"Jika saya perlu bertaruh mengenainya, (Pogba kekal di United), ya, saya akan lakukannya.
"Tidak ada gunanya untuk terus menyimpan seseorang yang tidak mahu berada dengan pasukan anda, kerana ia akan menjejaskan persembahan pasukan termasuk pemain-pemain lain," katanya.
Untuk rekod, Pogba sebelum ini dikatakan menjadi pemain yang dilihat bakal meninggalkan United pada penghujung musim setelah dilanda kecederaan selepas hanya lapan penampilan bersama skuad The Red Devils itu.
Bagaimanapun, pemain berkenaan dikhabarkan bakal kembali ke saingan EPL setelah beberapa perbincangan dengan kelab-kelab di Eropah gagal dimuktamadkan berikutan pandemik Covid-19 ketika ini.
Sementara itu Bosnich menyifatkan Pogba bakal tampil berbeza kali ini (jika saingan EPL) kembali bersambung.Katanya, ini ditambah dengan kehadiran Fernandes yang bakal menyaksikan perubahan besar dalam persembahan skuad The Red Devils itu kelak.
"Tak perlu disangkal lagi bahawa Pogba adalah seorang pemain berkelas dunia. Saya telah mula menyaksikan aksinya pada saingan Piala Dunia 2018 lalu.
"Kini dengan kehadiran Fernandes, dan rekod kemenangan pasukan berkenaan saya yakin ia akan membawa satu perubahan besar.
"Jika dia Pogba) dapat kembali dan kembali beraksi dengan sepenuh keupayaannya, ia adalah satu berita baik buat semua penyokong United," katanya.