Lebih 20 kenderaan ditenggelami banjir

Iklan
Tangkap layar rakaman video tular yang menunjukkan beberapa kereta ditenggelami air di kawasan perindustrian di Petaling Jaya petang semalam.

PETALING JAYA - Hujan lebat di sekitar Kelana Jaya dan Sea Park petang semalam menyebabkan lebih 20 kenderaan yang diletakkan di tepi Jalan 51A, Seksyen 51A berhampiran Lebuhraya Persekutuan di sini ditenggelami air.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan I Hafisham Mohd Noor berkata, Pusat Gerakan Operasi Negeri Selangor menerima panggilan memaklumkan kejadian tersebut pada jam 5.31 petang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kejadian banjir kilat dilapor berlaku di Jalan 51A, Seksyen 51A berhampiran Lebuhraya Persekutuan.

Beliau berkata, sebaik menerima panggilan, sepasukan enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Penchala, Petaling Jaya dikejarkan ke lokasi.

Iklan

"Menurut komander operasi, berlaku banjir kilat berhampiran Lebuhraya Persekutuan ekoran daripada limpahan air sungai akibat hujan lebat.

"Air naik setinggi hampir satu meter menyebabkan lebih 20 kenderaan diletakkan di tepi jalan tenggelam. Pihak bomba bertindak membuat pemantauan di lokasi," katanya.

Gambar yang tular menunjukkan beberapa buah motosikal berkuasa tinggi dipercayai diletakkan di ruang pameran sebuah syarikat jualan kenderaan yang turut ditenggelami air.

Iklan

Beliau berkata, air surut selepas 30 minit dan kejadian tidak melibatkan sebarang pemindahan mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, memaklumkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian banjir di beberapa kawasan di daerah tersebut.

"Kita ada terima laporan berhubung kejadian banjir iaitu di di Kelana Jaya dan Sea Park," katanya.

Difahamkan kejadian banjir kilat itu turut menenggelamkan beberapa buah motosikal berkuasa tinggi dipercayai diletakkan di ruang pameran sebuah syarikat jualan kenderaan.