AMPANG - Zoo Negara selesai menjalani proses sanitasi awam yang dijalankan oleh Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama lima agensi lain, hari ini berhubung pencegahan terhadap risiko penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Timbalan Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abd Mutalib berkata, bagaimanapun sanitasi tersebut hanya melibatkan kawasan tumpuan awam iaitu di laluan pintu masuk, pejalan kaki dan kawasan perumahan di sekitar lokasi rekreasi tersebut.
Menurutnya, operasi sanitasi yang dijalankan itu sebagai langkah pencegahan mengelak berlakunya jangkitan wabak koronavirus (Covid-19) dengan menggunakan bahan kimia yang tidak membahayakan haiwan di dalam zoo.
"Setakat hari ini belum ada jangkitan Covid-19 melibatkan haiwan dalam negara seperti berlaku di Amerika Syarikat (harimau), Belgium (kucing) dan Hong Kong (anjing).
"Diharapkan Covid-19 tidak menular kepada haiwan kerana ia akan memberikan akibat yang lebih teruk kepada manusia jika berlaku (penularan jangkitan)," katanya selepas turun memantau Ops Sanitasi Awam JBPM di Zoo Negara hari ini.
Operasi tersebut diketuai oleh Ketua Zon 4 Hulu Langat, JBPM Selangor, Penguasa Bomba Kanan 1 (PgKB 1) Shahrin Yusmar Mat Yusof bersama 70 anggota termasuk dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), SWCorp, Alam Flora, Majlis Perbandaran Ampang Jaya serta Jabatan Penerangan.
Sementara itu Ismail berkata, sebanyak 2,284 operasi sanitasi telah dilaksanakan setakat semalam merangkumi 102 zon iaitu 27 zon merah, 16 zon jingga dan 59 zon kuning dengan merangkum 1, 575 bangunan kerajaan, 947 tempat awam, 970 pusat perniagaan, 767 kawasan perumahan dan 183 pasar raya.
Menurutnya, zon merah telah diberi keutamaan dan tidak menolak proses sanitasi akan dilakukan secara berulang dalam usaha mengawal penularan Covid-19 di negara ini.
Tambahnya, setakat ini sebanyak 196 operasi sanitasi telah dijalankan semalam, melibatkan 70 zon seluruh negara termasuk 41 operasi di Johor, 21 di Kelantan dan 20 di Pahang.