SHAH ALAM - Malaysia merekodkan carian frasa ‘Google Classroom’ tertinggi di dunia membuktikan impak terhadap usaha golongan pendidik di negara ini menggunakan medium pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika krisis wabak koronavirus (Covid-19).
Rekod itu menunjukkan kadar minat yang tinggi dalam kalangan komuniti terlibat seperti guru dan murid terhadap perisian tersebut.
Semakan Sinar Harian setakat jam 2.30 petang hari ini mendapati Malaysia mendahului 51 negara lain termasuk negara-negara maju yang turut tersenarai dalam carian popular itu dalam tempoh sejak sebulan lalu manakala Indonesia berada di tangga ke-2 diikuti Albania, Serbia dan Hungary bagi kedudukan lima ke atas.
Semalam, carian untuk frasa ‘Google Classroom’ di Malaysia berada ke tangga ke-2 dunia dan statistik itu telah dikongsi salah seorang pengguna Facebook iaitu Mohd Fadli Salleh yang juga merupakan salah seorang guru di negara ini.
"Saat banyak tuduhan dilemparkan pada golongan guru sampai ada yang minta gaji cikgu dipotong, duduk saja dan sebagainya, statistik pula menunjukkan sebaliknya.
"Ini fakta. Ini statistik. Ini adalah usaha sebenar guru-guru di Malaysia yang ramai orang tidak nampak. Namun statistik tidak menipu.
"Kita mengalahkan banyak negara-negara moden dan lebih maju dari kita. Kita mengalahkan negara yang kononnya memiliki kemajuan paling pesat, teknologi paling canggih dan hebat," tulisnya.
Status berkenaan telah menarik perhatian bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang memberi reaksi balas di Twitter.
"Terima kasih kepada guru-guru kita. Walaupun menghadapi pelbagai cabaran, mereka terus mendidik anak-anak kita.
Tahniah para guru!
"Walau apapun keadaan melanda, mereka terus tekal mendidik murid," ciapnya.
'Google Classroom' merupakan perisian pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian yang dikendalikan oleh Google yang menjadi platform digunakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai pendekatan digunakan guru-guru dalam pembelajaran digital ketika tempoh PKP.