TAIPING - Seorang wanita terpaksa menahan sakit lebih 40 minit selepas empat jari kanannya tersepit pada mesin tebu dalam kejadian di Jalan Kampung Bukit Cempedak, Bukit Gantang di sini hari ini.
Dalam kejadian itu, mangsa, Nur Ain Abd Halim, 30, sedang mencuci mesin sebelum digunakan memproses tebu untuk hidangan keluarga.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Rafeel Hairul Richard berkata, sepasukan sembilan anggota diketuai Mohd Sharif Aziz bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 10.16 pagi.
"Setibanya di lokasi kejadian mendapati empat jari tangan kanan mangsa tersepit pada mesin tebu tersebut.
"Anggota bertindak menggunakan ‘power saw’ untuk memotong besi dan meleraikan komponen mesin bagi mengeluarkan jari mangsa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Menurutnya, operasi mengambil masa 30 minit untuk mengeluarkan jari mangsa sebelum diserahkan kepada kakitangan perubatan.
"Mangsa dalam keadaan stabil meskipun mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut,” katanya.