Rakyat perlu suaikan diri dengan normal baharu: Tun M

Iklan
Dr Mahathir (kiri) ketika program sembang live bersama Dr Nurul Yaqeen di Facebook Chedet hari ini.

SHAH ALAM - Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru agar rakyat dapat menyesuaikan diri dengan normal baharu dalam kehidupan harian mereka ketika negara sedang berdepan dengan wabak koronavirus (Covid-19) ketika ini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, perubahan normal baharu itu sememangnya sentiasa terjadi sejak dulu lagi dan manusia perlu menyesuaikan diri dengannya.

Iklan
Iklan

"Normal kita ini hanya untuk satu masa. Setiap masa normal kita bertukar. Kalau dahulu, kita tak ada telefon bimbit, sekarang kita ada dan cara hidup kita juga sudah berubah.

"Jadi ia menjadi satu normal baharu dan sememangnya ia berubah sepanjang masa,” katanya pada program sembang 'live' bersama pakar perunding perubatan dan paru-paru Hospital Sunway Velocity, Kuala Lumpur, Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa di Facebook sebentar tadi.

Iklan

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, ketika berdepan dengan Covid-19, negara mempunyai satu sekatan luar biasa iaitu dalam bentuk jangkitan yang mudah berjangkit, maka pengubahsuaian harus dilakukan oleh rakyat ke arah mengelakkan penularan wabak itu.

"Jadi kita perlu sesuaikan diri kita dengan mengelak ke tempat-tempat orang ramai yang boleh menyebabkan berkembangnya wabak ini.

Iklan

"Sebelum ini kita tak pernah ada satu penyakit yang begitu mudah berjangkit sehingga ke seluruh dunia. Malah saya juga tak pernah alami wabak seperti ini dan cara hidup saya pun dah bertukar,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut berpendapat bahawa proses pemulihan pasca Covid-19 akan menjadi sangat berbeza jika dibandingkan dengan proses pemulihan selepas Perang Dunia Kedua lalu.

Katanya, penyesuaian itu harus berlaku dalam banyak hal bagi mengurangkan perhubungan fizikal dalam kalangan rakyat seperti acara sukan yang selalunya melibatkan ramai penonton berkumpul di dalam stadium.

"Malah cara kita bekerja sekarang juga berbeza dengan kaedah kerja dari rumah tetapi kita hendaklah lebih berdisiplin untuk memberi hasil atau keputusan yang setimpal.

"Begitu pun penyesuaian dengan normal baharu ini akan memberi peluang yang lebih baik seperti pendidikan dalam talian yang akan membolehkan pelajar mendapat akses daripada tenaga pengajar terbaik,” katanya.

Selain itu, Ahli Parlimen Langkawi itu mengakui normal baharu khususnya dalam bidang perniagaan secara dalam talian juga akan memberi kelebihan buat peniaga untuk mendapatkan pasaran yang lebih meluas sehingga ke seluruh dunia.

"Ia akan membuka peluang keuntungan yang lebih baik berbanding sebelum ini, terutamanya buat peniaga di kawasan luar bandar," katanya.