PUTRAJAYA - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) hari ini menerima sebanyak 2,000 unit topeng muka yang disumbangkan oleh kerajaan China.
Sumbangan itu disampaikan oleh Ketua Bahagian Media dan Komunikasi, Kedutaan Besar China di Malaysia, Tang Tang kepada Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Ibu Pejabat Yadim di sini hari ini.
Tuan Kamarul Arief berkata, pihaknya amat berbesar hati kerana pihak Kedutaan China memilih Yadim sebagai penerima sumbangan.
"Semoga hubungan baik ini dapat dikekalkan.
"Besarlah juga harapan kami agar kerjasama ini dapat diteruskan lagi menerusi pelbagai cara sama ada penganjuran program dan sebagainya,’’ katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Tang dalam ucapannya berkata, sumbangan itu adalah sebagai satu tanda solidariti pihaknya kepada Malaysia dalam melawan wabak koronavirus (Covid-19) serta peranan Yadim sebagai salah satu pihak yang boleh dianggap sebagai pasukan barisan hadapan.
"Kerajaan China sentiasa memikirkan soal kemanusiaan dan atas sebab itulah kami terus menyalurkan bantuan dalam pelbagai segi kepada banyak pihak di Malaysia termasuk Yadim.
"Tambahan lagi, Malaysia adalah rakan China yang sentiasa memberi bantuan dan mempunyai hubungan yang erat selama ini,’’ katanya.
Dalam perkembangan lain, Yadim turut mengadakan program Musa’adah Covid-19 bagi menyantuni pelbagai pihak termasuk kira-kira 1,000 keluarga berpendapatan rendah, 500 pelajar institusi pengajian tinggi serta sumbangan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada barisan hadapan.