Kerajaan nafi PDRM tiada kuasa ambil tindakan individu ingkar PKP

Iklan
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa sidang media harian pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Kerajaan menafikan dakwaan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap individu yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana tangkapan sepanjang PKP dibuat mengikut Akta 342 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Iklan
Iklan

Menurutnya, di bawah Seksyen 3.1 akta tersebut menyatakan Menteri Kesihatan boleh melantik mana-mana individu yang sesuai menjadi pegawai diberi kuasa untuk menahan mereka yang ingkar PKP.

"Seksyen 3.2 pula menyebut seseorang pegawai diberi kuasa untuk bertindak dalam bidang kuasa dan kewajipannya di bawah Akta ini, hendaklah disifatkan sebagai seorang penjawat awam mengikut pengertian Kanun Keseksaan, Akta 574.

Iklan

"Bermakna kalau ada pihak mempersoalkan kuasa polis untuk mengambil tindakan, saya ingin jelaskan bahawa polis mempunyai kuasa ambil tindakan melaksanakan apa yang termaktub dalam Akta 342," katanya pada sidang media (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengenai artikel yang tersebar di media sosial semalam bahawa polis tidak mempunyai kuasa menahan dan mengeluarkan waran terhadap mereka yang ingkar PKP.

Iklan

Ismail Sabri berkata, PDRM telah menangkap 1,057 individu kerana ingkar PKP semalam.

"Daripada jumlah tersebut, seramai 906 individu yang direman dan 151 individu dijamin polis.

"Seramai 622 individu telah dituduh di mahkamah atas kesalahan mengingkari PKP," katanya.

Menurutnya, PDRM bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semalam juga telah mengadakan sebanyak 813 sekatan jalan raya di seluruh negara dan melakukan pemeriksaan ke atas 557,699 kenderaan.

"Sebanyak 57,344 pemeriksaan mengejut telah diadakan di seluruh negara dengan sebanyak 5,220 premis telah diperiksa oleh pihak berkuasa.

"Jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP sehingga 16 April 2020 ialah sebanyak 12,074 individu," katanya.