PELAKON, pengacara dan usahawan, Ashraf Muslim menyifatkan ada hikmah di sebalik ujian yang dihadapinya pada ketika ini apabila disahkan positif virus Covid-19.
Menurut Ashraf, 39, dia kini ditempatkan di Pusat Kawalan Kusta Negara, Sungai Buloh untuk menjalani rawatan dan kuarantin sejak 12 April lepas.
Katanya, semenjak berada di sini di samping pesakit lain yang kebanyakan terdiri daripada Kluster Sri Petaling banyak aktiviti bermanfaat dapat dilakukan.
"Setiap kali masuk waktu solat, azan akan berkumandang dan kami dapat bersolat jemaah bersama tetapi masih mengamalkan penjarakan sosial, kemudian berdoa bersama.
"Kemudian mereka akan buat taklim dan isi masa terluang dengan membaca al-Quran. Secara tidak langsung kami yang bukan tabligh ini akan turut terikut dan saya kira ini adalah masa untuk kami bermuhasabah diri.
"Secara tidak langsung dapat menenangkan hati dan rasa rindu pada keluarga. Apatah lagi saya sudah sebulan tidak berjumpa anak dan isteri," katanya menerusi sesi Facebook Live bersama Sinar Harian petang tadi.
Tambah pelakon Bukan Cinta Malaikat itu, mereka juga dilayan dengan cukup baik oleh jururawat dan doktor di sana dan berasa seperti sebuah keluarga yang besar.
"Kami duduk ibarat dalam sebuah asrama. Saya berada di stage satu dan tidak ramai yang ada di sini. Pesakit juga keluar masuk, tapi hubungan kami ibarat satu keluarga besar," ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Ashraf Muslim Positif Covid-19
Berkongsi mengenai tanda-tanda sebelum disahkan menghidapi Covid-19, bapa kepada tiga orang cahaya mata itu memberitahu, dia tidak mempunyai sebarang gejala koronavirus sebaik kembalinya daripada penggambaran di Scotland pada 31 Mac lalu.
Bagaimanapun disebabkan lapan orang kru termasuk pengarah dan pelakon drama Demi, Puteri Aishah disahkan positif virus berkenaan, Aashraf mengambil keputusan menjalani saringan pada 1 April lalu.
"Sebaik pulang dari Scotland, saya terus pulang ke rumah untuk menjalani kuarantin bersendirian dan keesokannya iaitu pada 1 April saya ambil buat pemeriksaan sebagai langkah berjaga-jaga kerana ada yang positif.
"Pada 10 April, pihak hospital hubungi saya dan memberitahu keputusan saya adalah inconclusive iaitu antara positif dan negatif. Kemudian saya jalani satu lagi ujian di Klinik Mega Zahran Bangi sebelum pihak hospital menjemput saya pada 12 April lalu," jelasnya.
Ashraf berkata, hanya pada 14 April lepas, dia mula mengalami sakit tekak dan tidak selesa untuk bernafas. Namun selepas tiga hari, keadaannya kini semakin baik.
"Alhamdulillah keadaan saya semakin baik walau tekak masih sakit. Tapi bagi saya memang seeloknya untuk kita duduk di rumah, jalani sesi kuarantin.
"Macam saya, hanya selepas dua minggu baru simptom itu muncul. Kalau tak ada yang positif, mungkin lagi banyak kami berjalan dan secara tidak langsung telah sebarkan virus kepada lebih ramai orang," katanya.