NILAI - Seorang pengurus jurutera kerugian RM115,938.88 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang mendakwa akaun bank miliknya terlibat dengan pengubahan wang haram.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJN) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, mangsa lelaki berusia 38 tahun menerima panggilan telefon dari Pos Laju Malaysia pada 30 Mac lalu jam 5 petang mengatakan mangsa mempunyai barang yang tidak dituntut.
"Bagaimanapun, talian mangsa kemudiannya disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah seterusnya dimaklumkan nombor akaun miliknya terlibat dengan pengubahan wang haram.
"Pada 7 April jam 12.28 tengah hari, mangsa telah membuat pembayaran melalui akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) miliknya ke akaun Ambank atas nama seorang wanita berjumlah RM115,938.88 sebagaimana diminta suspek untuk menyemak atau audit akaunnya," katanya.
Aibee berkata, mangsa turut membuat transaksi dalam talian ke nombor akaun Maybank atas nama individu lain sebanyak RM3,800 atas sebab yang sama.
"Pada 14 April lalu mangsa menerima panggilan daripada individu yang dikenali sebagai Mokhtar mengatakan akaun miliknya bersih.
"Mangsa bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Nilai semalam sebaik menyedari dirinya ditipu sehingga mengalami kerugian RM119,738.88. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.