Penduduk Kampong Bharu jalani saringan Covid-19

Iklan
Sebahagian penduduk di Kampong Bharu beratur menunggu giliran untuk melakukan pemeriksaan saringan Covid-19 di Sekolah Rendah Agama Jalan Raja Muda Musa hari ini.

KUALA LUMPUR - Lebih 600 penduduk Kampong Bharu di sini menjalani ujian saringan Covid-19 sesi pertama hari ini selepas kawasan itu diwartakan sebagai zon merah.

Jumlah itu adalah hasil kejayaan hebahan efektif Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tampil pada hari pertama di Sekolah Rendah Agama Jalan Raja Muda Musa seterusnya empat lagi sesi ujian saringan itu sehingga 21 April ini.

Iklan
Iklan

Setiausaha Kehormat merangkap Pemangku Naib Yang Dipertua Lembaga Pentadbiran Penempatan Pertanian Melayu (MAS), Shamsuri Suradi berkata, ujian saringan itu tindakan wajib setiap penduduk yang berada dalam kawasan Kampong Bharu untuk menjalani ujian saringan bagi tujuan pengesanan awal pandemik Covid-19.

"Ini terbukti apabila jumlah ini mengatasi sasaran iaitu 400 orang bagi hari pertama. Ujian saringan dilakukan berikutan kawasan Kampong Bharu merupakan kawasan berdekatan dengan Selangor dan Malayan Mansion,” katanya ketika ditemui hari ini.

Iklan

Menurut Shamsuri, penduduk diwajibkan membuat ujian, namun pesakit kronik dan pesakit tidak boleh bergerak adalah dikecualikan.

Ujian saringan bermula 9 pagi dan berakhir pada jam 2 petang itu diketuai Pegawai Perubatan, Dr Suliana Mohamad Shuib dan Dr Aida Azlan yang dibantu 30 petugas kesihatan KKM.

Iklan

Rosni Karamah, 56, yang datang bersama enam orang anaknya berkata, dia tidak mengambil masa yang lama untuk menjalani saringan iaitu dalam tempoh 30 minit dan memuji usaha KKM itu.

Seorang penduduk melihat sampel yang diambil petugas KKM selepas membuat saringan Covid-19 di Sekolah Rendah Agama Jalan Raja Muda Musa semalam.

Pekerja pentadbiran, Nor Khamisah Ahmad, 27, berkata, dia mendapat maklumat mengenai ujian saringan itu melalui aplikasi whatsApp apabila dihubungi ketua kampung kawasan itu.

"Saringan ini penting kerana kawasan ini berhampiran dengan kawasan yang diwartakan dengan PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan) yang ada banyak kes positif. Saya lega kerana adanya proses saringan secara percuma ini, harapnya saya tiada apa-apa masalah," katanya yang berasal dari Perak.

Bagi warga emas, Shamsuri Nursham, 59, beliau menyifatkan hebahan KKM secara berkesan banyak membantu penduduk mengetahui keperluan untuk mereka disaring dan wujudnya saluran cepat untuk warga emas tanpa perlu beratur juga memudahkan dia dan isterin membuat saringan itu.

"Apa yang KKM lakukan ini langkah yang baik. Tidak semua kami warga emas tahu mengenai tahap serius Covid-19 di kawasan kami jika tiada hebahan begini," katanya yang diberi notis supaya dikuarantin di rumah selama 14 hari sementara menunggu keputusan ujian saringan. - Bernama