Pengedar dadah pusat hiburan dicekup

Iklan
Serbuk dadah jenis ecstasy yang ditemui selepas polis menahan seorang wanita di sebuah unit perumahan awam di sini, malam Khamis lalu.

CHERAS - Seorang wanita yang bergiat aktif membekalkan dadah di pusat-pusat hiburan sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang dicekup bersama 1.54 kilogram dadah jenis ecstasy bernilai hampir RM130,000 di sini, baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Adnan Azizon berkata, hasil penahanan suspek, polis merampas wang tunai berjumlah RM228,540 dan sebuah kereta Perodua Viva.

Iklan
Iklan

Menurutnya, suspek berusia 36 tahun diberkas selepas polis menerima maklumat dan menyerbu sebuah unit perumahan awam di sini, malam Khamis lalu.

"Suspek ditahan dalam satu operasi khas sepasukan polis JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur. Ketika serbuan, polis merampas dadah disyaki serbuk ecstasy seberat 1,542 gram yang dipercayai boleh dibekalkan kepada kira-kira 1,500 penagih.

Iklan

"Hasil siasatan suspek didapati bergiat aktif mengedar dadah di pusat hiburan sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang,”katanya.

Beliau berkata, dengan penahanan suspek, polis berjaya menumpaskan aktiviti pengedaran dadah di pusat hiburan didalangi warga tempatan.

Iklan

Suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama tujuh hari hingga esok. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

"Usaha berterusan akan dilaksanakan untuk membasmi masalah dadah sekitar Kuala Lumpur,” katanya.