KUALA LUMPUR - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa semua pihak perlu menguruskan urusan perbezaan pendapat mengenai sebarang keputusan dibuat parti melalui saluran dalaman.
Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kasim berkata, pihaknya meneliti banyak pandangan disalurkan secara terbuka melalui media mahupun media sosial terutama apabila surat pemecatan dan penggantungan keanggotaan dikeluarkan.
Menurutnya, Lembaga Disiplin PKR juga mengakui wujudnya pandangan yang berbeza dalam perkara dasar parti atau berbentuk kritikan pada pengurusan parti.
"Parti telah mengalami episod yang sangat getir apabila dikhianati oleh segelintir pimpinan yang menyebabkan runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) dipilih oleh rakyat secara demokratik.
"Lalu membuat kenyataan isu-isu dalaman kepada entiti luar tidak akan merungkai masalah mahupun menambah keharmonian dalam parti.
"Nasihat Lembaga Disiplin PKR adalah sila salurkan pandangan tersebut melalui saluran dalaman parti," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ahmad berkata, adalah munasabah tindakan diambil terhadap mana-mana pihak mengkhianati perjuangan PKR bagi memastikan perjuangan parti tidak dikhianati di masa hadapan.
"Tidak ada mana-mana organisasi yang akan merestui pengkhianatan yang merosakkan dan menjatuhkan kredibilitinya, hatta mereka yang khianat itu berada dalam organisasi baharu juga tidak akan merestui pengkhianatan kepada mereka pula.
"Mana-mana individu menyebabkan episod pengkhianatan berlaku juga mengetahui kesan langsung daripada tindakannya itu dengan sebahagian mereka telah membuat pengisytiharan jelas manakala sebahagian lagi masih berada dalam parti.
"Maka amat wajar tindakan tegas diambil terhadap ahli-ahli ini dengan Lembaga Disiplin PKR selaku badan dipertanggungjawabkan untuk memastikan disiplin parti terjaga mesti melakukan tugas ini secara tegas," katanya.
Ahmad berkata, keadaan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta penularan wabak koronavirus (Covid-19) belum reda menyebabkan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat sebelum terpaksa diadakan secara dalam talian dengan beberapa perkara tidak dapat dilampirkan seperti biasa, termasuk senarai nama anggota parti disyorkan untuk dipecat.
"Kami telah mengemukakan pelan pemutihan parti pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat ketika itu dengan kelulusan sejumlah nama untuk dipecat mengikut Fasal 9.1 perlembagaan parti akhirnya dicapai.
"Terdapat juga anggota diberi surat tunjuk sebab atau digantung sementara di bawah Fasal 41.6 perlembagaan parti sehingga Lembaga Disiplin selesai menyiasat kesalahan mereka.
"Mereka diberi hak untuk mempertahankan diri serta diberi peluang untuk membuat rayuan mengikut proses biasa disiplin parti dengan kami akan memastikan proses keadilan berjalan tanpa mengambil sikap pilih bulu," katanya.