KITA mempunyai misi dalam memerangi wabak Covid-19 dengan kekal berada di rumah. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan oleh kerajaan adalah untuk kebaikan sejagat.
Namun persoalannya masih lagi ada segelintir rakyat Malaysia yang memandang enteng akan penularan wabak ini.
Bahayanya wabak pandemik itu bukan sahaja meragut nyawa manusia malah turut mengancam ekonomi negara.
Perkara utama yang terjejas adalah sektor perdagangan yang melibatkan import dan eksport, seterusnya menjurus terhadap sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Sektor ini lebih mudah terjejas terutamanya mereka yang berpendapatan rendah.
Inilah satu cabaran survival ekonomi dengan misi memerangi wabak Covid-19 secara total agar negara dapat pulih pada kadar segera.
Sebagai rakyat Malaysia dan berdisiplin, inilah peluang yang harus direbut, mudah beradaptasi dan sentiasa fikir ke hadapan.
Apabila kehidupan kita terbatas, jangan mudah mengalah, fikirkan cara untuk kita menyesuaikan diri dengan keterbatasan.
Sektor PKS yang ketinggalan dalam platform digital harus ditangani, ini kerana pemulihan ekonomi boleh mengambil masa sehingga bertahun-tahun.
Maka janganlah kita menangguk di air yang keruh dan mengalah dengan keterbatasan yang ada.
Betul ada kemungkinan tugasan kita akan tergendala, tetapi kita boleh menukarkan keadaan itu dengan menggantikan aktiviti tersebut kepada yang lebih produktif.
Keterbatasan pergerakan hanyalah pada fizikal, namun minda kita tidak terbatas.
Inilah masanya untuk kita mempelajari dan melengkapkan bagi mengharungi cabaran musim wabak.
Ramai penganalisis perniagaan menyatakan kebimbangan terhadap sektor PKS yang terkesan lebih-lebih lagi mereka yang tidak menggunakan platform digital. Inilah perkara yang perlu dilihat secara jelas.
Peluang
Perkara utama yang diperlukan adalah maklumat. Jika kita kekurangan maklumat, pelbagai info dan tatacara boleh diperoleh melalui platform digital.
Perbincangan, pembentangan dan dokumentasi boleh dikongsi secara maya yang tidak ada batasan.
Kita sedar bahawasanya tidak semua orang mahir untuk menggunakan platform digital.
Ini bukanlah masalah, sebaliknya peluang kepada mereka yang berkemahiran dengan membuka bengkel atau seminar secara atas talian.
Bagi graduan yang masih mencari pekerjaan, lakukanlah sesuatu berdasarkan bidang pengetahuan yang telah anda pelajari.
Semasa PKP ini, hobi boleh bertukar menjadi sepenuh masa.
Sebagai contoh, mereka yang pandai melukis boleh memberi khidmat melukis potret dengan memaparkan promosi di laman media sosial atau mana-mana platform sosial yang menyokong hasil kreatif pembuatan tangan.
Hakikatnya dengan kawalan pergerakan yang terhad, kita mampu memerangi wabak ini bagi memutuskan rantaian.
Dengan kekal berada di rumah, anda dapat buktikan betapa patriotiknya anda kerana ia membantu mempercepatkan rantaian virus berakhir.
* Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim ialah Pengarah Eksekutif World Trade Centre, Kuala Lumpur