TEMERLOH - Tindakan pantas polis Temerloh menyelamatkan seorang jurutera kargo kelahiran Rusia pada Rabu lalu mendapat penghargaan Kedutaan Rusia hari ini.
Dalam surat penghargaan terbabit, kedutaan itu merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak polis kerana membantu jurutera, Maxim Lapin, 42, yang terkandas di negara ini dan ditemui di Temerloh.
Iklan
Iklan
Kedutaan itu juga memuji terhadap persembahan, kemahiran dan pengetahuan serta kelancaran koordinasi yang dipamerkan oleh semua anggota terlibat.
ARTIKEL BERKAITAN: Polis Temerloh selamatkan jurutera kargo Rusia
Dalam surat itu juga menyatakan kedutaan terbabit memahami kesukaran yang dihadapi pihak polis dalam memastikan keselamatan awam terpelihara dan menangani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman memberitahu, tindakan itu juga hasil keprihatinan dan kerjasama orang ramai terhadap situasi dihadapi lelaki terbabit.
Sebelum ini, gambar lelaki terbabit di hadapan premis makanan segera di bandar itu dengan sepanduk tertulis"I can't go home and have no money. I need a food (Saya tidak boleh pulang dan tiada duit. Saya lapar)" dan dimuat naik oleh seorang wanita menggunakan profil nama, Eza Nurbaiti tular di media sosial.
Lelaki itu kemudiannya diselamatkan pihak polis pada hari sama dan berjaya dihantar ke kedutaan terbabit semalam.