Jual kuih tahi itik dalam talian

Iklan
Kuih muih tradisional yang dijual keluarga ini termasuklah bunga tanjung, jala emas, sekaya dan tahi itik.

TUMPAT - Seorang peniaga kuih tradisional tahi itik, jala masa, buah tanjung dan sekaya mula belajar menguasai ilmu perniagaan dalam talian sebagai persediaan berdepan Ramadan tanpa bazar makanan susulan penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Peniaga berkenaan, Zanita Mat Ali, 47, berkata, dia sudah 20 tahun menceburi bidang perniagaan kuih muih itu dan menjualnya secara terus dengan meletakkannya di kedai-kedai makan sekitar Tumpat.

Iklan
Iklan

"Kebiasaannya apabila tiba bulan Ramadan saya akan berniaga kuih muih di bazar Ramadan Pasar Wakaf Baru dan menerima tempahan daripada pemborong kuih yang lain.

"Berbeza pada tahun ini apabila kerajaan mengumumkan tidak ada bazar Ramadan sepanjang bulan puasa, saya mula belajar cara berniaga kuih secara dalam talian,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pasir Pekan Hilir di sini.

Iklan

Ibu lapan anak itu berkata, dia turut dibantu anak ketiganya, Siti Nur Aisyah Ashari, 23, dalam mempelajari cara untuk memuat naik gambar kuih muih di laman sosial Facebook dan WhatAps.

"Kami berdepan kesukaran kerana tidak mahir menggunakan teknologi namun perkara ini tidak dapat dielakkan kerana persediaan bahan-bahan untuk membuat kuih sudah dibeli dua bulan lalu,” katanya.

Siti Nur Aisyah menunjukkan kuih tahi itik yang dijual ibunya.

Iklan

Sementara itu, Siti Nur Aisyah berkata, dia buntu memikirkan jualan kuih ibunya yang makin perlahan.

"Sejak PKP kuih kami tidak laku, kalau dulu boleh jual sehingga 50 bekas sehari tetapi kini hendak jual 20 bekas pun sangat payah. Sebekas dijual dengan harga RM3 manakala bagi sekilogram taik itik dijual dengan harga RM12, buah tanjung 100 biji RM14 dan jala mas 100 keping RM55.

"Pemborong kuih lain juga sudah membatalkan tempahan mereka kerana tiada bazar Ramadan tahun ini,” katanya.

Semalam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberitahu pelbagai kaedah dibincangkan bagi menyelesaikan isu peniaga yang tidak dapat berniaga di bazar Ramadan kerana ancaman Covid-19.

Antaranya perlaksanaan e-bazar dilihat mampu menyelesaikan masalah bagi mengelak pelanggan tertumpu di satu-satu tempat untuk membeli makanan.