IPOH - Kesibukan tugas sebagai barisan hadapan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak menjadi halangan buat warga Briged Utara menjalankan tanggungjawab khidmat sosial kepada golongan kurang berkemampuan.
Hasil sumbangan pegawai-pegawai kanan Ibu Pejabat Briged Utara, seramai 18 keluarga di kawasan perumahan RPA 2, Ulu Kinta dapat dibantu menerusi serahan bantuan barangan keperluan.
Komander Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, serahan sumbangan itu sebagai peringatan kepada pegawai dan anggota supaya tidak melupakan golongan yang terkesan dengan PKP.
"Kita sedar, dalam tempoh PKP ini, ramai tidak bekerja dan hilang punca pendapatan, kerana itu walaupun warga Briged Utara terlibat pelbagai penugasan PKP, kita tetap menyumbang kepada masyarakat melalui kutipan derma," katanya.
Antara barangan keperluan yang disediakan ialah beras, minyak masak, gula, teh uncang, tepung, susu, telur, sardin dan biskut.
Menurutnya, pemilihan RPA 2 Ulu Kinta dibuat kerana kedudukan kampung itu yang bersebelahan dengan Kem Pasukan Gerakan Am (PGA).
"Kawasan perumahan ini mempunyai 214 unit rumah dan bancian mendapati 18 keluarga ini tergolong sebagai asnaf, jadi mereka diberi keutamaan.
"Bantuan ini diharap dapat meringankan beban mereka terutama untuk menyambut Ramadan," katanya.
Semua bantuan diserahkan dalam satu program ringkas, semalam yang turut dihadiri Timbalan Komander, Asisten Komisioner Mohamad Rafiq Mohamad Mustafa.