BANGKOK - Jaringan Hak Asasi Pelarian Asia Pasifik (APPRN) menyeru kerajaan Malaysia dan Thailand menghentikan sebarang penolakan, pemintasan dan langkah-langkah lain menghalang akses kemasukan pelarian etnik atau pencari suaka perlindungan ke negara mereka.
APPRN dalam satu kenyataan berkata, walaupun badan antarabangsa itu mengakui keadaan pandemik koronavirus (Covid-19) memberi kesan besar kepada negara-negara berkenaan, hak pelarian untuk hidup berasaskan prinsip non-refoulement adalah kewajiban yang tidak boleh ditolak berdasarkan pematuhan undang-undang antarabangsa.
Menurutnya, kerajaan Malaysia dan Thailand turut diseru mengatur misi mencari dan menyelamat serta memberikan bantuan kemanusiaan serta rawatan perubatan kepada kumpulan pelarian etnik ini sekiranya diperlukan.
"APPRN sangat mengambil berat di atas laporan pihak berkuasa Maritim Malaysia menghalau bot yang membawa muatan pelarian etnik Rohingya untuk mencari perlindungan di negara ini pada 16 April lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: ABIM kesal ASEAN, PBB gagal tangani penindasan etnik Rohingya
"Tindakan itu berlaku sehari selepas pihak berkuasa Bangladesh menyelamatkan sebuah bot yang memuatkan 396 pelarian etnik Rohingya yang gagal dalam percubaan untuk memasuki Malaysia dan Thailand.
"Meskipun tidak menandatangani Konvensyen Berkaitan Status Pelarian 1951 atau Protokol 1967, Malaysia dan Thailand masih terikat dengan undang-undang antarabangsa yang menekankan prinsip non-refoulement iaitu membenarkan pendaratan kepada mana-mana pelarian yang cuba mendapatkan suaka perlindungan atas risiko ditindas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
APPRN berkata, kerajaan Bangladesh wajar diberikan pujian kerana bertindak menyelamatkan bot pelarian etnik Rohingya itu tetapi negara itu tidak boleh dibiarkan berseorangan menjadi penyelamat dengan menyediakan perlindungan kepada pelarian berkenaan.
Berikutan itu, APRRN menggesa kerajaan Malaysia mencontohi semangat kemanusiaan sama ditunjukkan negara ini sewaktu menerima dan memberi bantuan kemanusiaan kepada pelarian Rohingya yang mendarat di negara ini pada 18 Mac dan 5 April lalu.
"Kerajaan Thailand juga sewajarnya mencontohi negara Malaysia, selaras dengan komitmen dibuat Perdana Menterinya, Prayut Chan-o-cha di Persidangan Pemimpin-pemimpin Dunia Berkenaan Hal Pelarian 2016 untuk meningkatkan perlindungan kepada populasi yang tertindas selain mengiktiraf situasi khas membabitkan keperluan perlindungan pendatang," katanya.
APPRN berkata, Kesatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) turut menubuhkan dana amanah bagi menyokong usaha kemanusiaan serta bantuan kepada pelarian tidak teratur di Asia Tenggara dalam satu mesyuarat khas pada tahun 2015.
Menurutnya, mesyuarat khas itu turut mengesyorkan negara-negara ASEAN meneroka kemungkinan penubuhan pasukan khas bagi menangani krisis serupa pada masa hadapan.
"Meskipun tiada laporan terkini mengenai perkembangan pasukan khas diusulkan itu, tragedi kemanusiaan terbaharu ini menekankan pentingnya rencana kesediaan dan maklum balas negara.
"APRRN meminta semua negara untuk tidak mengabaikan sesiapa pun meskipun pada saat genting menangani wabak Covid-19.
"Dalam jangka masa panjang, negara-negara ASEAN mesti menangani punca menyebabkan pemindahan pelarian Rohingya secara berterusan.
"Negara-negara ASEAN juga diminta bekerjasama dengan Myanmar untuk mewujudkan keadaan lebih kondusif yang akan mencegah usaha pelarian etnik lebih kerap sekaligus mewujudkan kemungkinan penerimaan semula mereka dalam keadaan sukarela, selamat serta lestari," katanya.