Fitnah di Facebook: Setiausaha Politik Ketua Menteri buat laporan polis

Iklan
Lai Heng menunjukkan laporan polis dan poster yang dimuatnaik di Facebook.

GEORGETOWN - Setiausaha Politik Ketua Menteri, Teh Lai Heng membuat laporan polis terhadap seorang individu dikenali sebagai Nik Nasrul kerana memuatnaik satu hantaran memfitnah Ketua Menteri, Chow Kon Yeow di laman Facebooknya.

Laporan polis itu dibuat bagi mewakili Kon Yeow di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Iklan
Iklan

Lai Heng berkata, ia merupakan fitnah kitar semula yang mana hantaran tersebut ditular sejak tahun lalu.

Menurutnya, dalam hantaran yang berbentuk poster itu, ia memaparkan gambar Kon Yeow dengan kenyataan bertulis 'pemberian kad pengenalan kepada warga China dan Hong Kong adalah kuasa kerajaan negeri, kerajaan Pusat tidak berhak untuk campur tangan'.

Iklan

"Poster dan kenyataan ini adalah satu fitnah yang mana, ia merupakan hantaran kitar semula. Ia tular sejak tahun lalu dan kita juga sudah buat laporan polis sebelum ini. Kini ia tular kembali oleh seorang dikenali Nik Nasrul di laman Facebooknya.

"Oleh itu, saya hadir ke balai polis hari ini mewakili Kon Yeow untuk membuat laporan polis kerana kenyataan itu sama sekali tidak benar dan fitnah yang diulang-ulang," katanya kepada media di pekarangan IPDTL tadi.

Iklan

Beliau berkata, Kon Yeow tidak pernah membuat kenyataan tersebut yang mana, beliau sentiasa mendukung Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan isu kewarganegaraan adalah di bidang kuasa kerajaan Pusat.

"Kenyataan seperti itu boleh menyebabkan ketegangan sentimen agama dan kaum dalam masyarakat kita yang berbilang kaum. Selain itu, ia seolah-olah menunjukkan Kon Yeow memberi kepentingan khusus kepada warga China dan Hong Kong.

"Perbuatan fitnah ini juga boleh menyebabkan keresahan masyarakat tambahan pula dalam keadaan negara dilanda penularan wabak Covid-19. Ia juga menyebabkan prasangka buruk terhadap Kon Yeow selain menjatuhkan kredibiliti beliau sebagai pemimpin Pulau Pinang, parti dan ahli Parlimen," katanya.

Lai Heng berkata, beliau menggesa polis menjalankan siasatan segera terhadap individu tersebut kerana menabur fitnah terhadap Kon Yeow.

Sebelum ini, Lai Heng membuat laporan polis berhubung perkara sama di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut pada 21 September tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan tersebut.

Menurutnya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah memfitnah dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).