Helah lima sekawan tak menjadi

Iklan
Lima individu yang diberkas mengaku sukarelawan kononnya melakukan kerja amal penyemburan nyahkuman di pekan Labis, Segamat, Johor kelmarin. Foto: ihsan PDRM

JOHOR BAHRU - Helah lima sekawan yang kononnya baru pulang dari selesai menjalankan kerja amal penyemburan nyahkuman tidak menjadi apabila mereka ditahan di Simpang 4 Jalan Ibrahim, Labis, Segamat dekat sini kelmarin.

Malah alasan yang diberikan empat lelaki dan seorang wanita berusia 21 hingga 35 tahun juga tidak munasabah kerana tiada sebarang aktiviti penyemburan nyahkuman dilaksanakan pada waktu malam.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua suspek ditahan pada jam 8.45 malam selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen atau pemakluman kebenaran melakukan kerja amal berkenaan kepada Majlis Daerah Labis (MDL).

"Semasa pihak kita melakukan 'snap check' ke atas kumpulan ini mereka memberi helah yang kononnya baru pulang dari melakukan kerja amal penyemburan nyahkuman di pekan Labis.

Iklan

"Apabila kita siasat kumpulan ini gagal mengemukakan sebarang dokumen atau pemakluman kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, mereka ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 270 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11, Peraturan-peraturan Pencegah dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Iklan

Beliau mengucapkan terima kasih atas semangat serta niat baik sukarelawan tersebut namun niat dan matlamat tidak menghalalkan cara, salah tetap salah.

Polis Johor tidak pernah menghalang sukarelawan atau badan bukan kerajaan (NGO) melibatkan diri dalam membantu pihak kerajaan dalam menangani penularan wabak Covid-19 di negara ini.

"Namun mestilah mematuhi undang-undang sedia ada dan mengikut peraturan yang telah ditetapkan supaya dapat mengelak daripada berlakunya perselisihan faham selain menyulitkan kepada pihak penguat kuasa melakukan kerja di lapangan," katanya.