GEORGETOWN - Semua daerah di Pulau Pinang akan diisytiharkan sebagai zon hijau dalam tempoh kurang 10 hari jika tiada pertambahan kes wabak Covid-19.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkongsi keadaan itu selepas dimaklumkan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang, Dr Asmayani Khalib pagi tadi.
"Berdasarkan pemantauan laporan kes Covid-19 untuk tempoh 14 hari bagi Pulau Pinang, jika tiada pertambahan kes, semua daerah di negeri ini akan menjadi zon hijau pada 27 April ini. Bagi peringkat daerah, jika tiada pertambahan kes, SPS akan menjadi daerah pertama zon hijau pada 21 April.
"Ini berita baik untuk rakyat Pulau Pinang dan Malaysia, Tapi kita jangan ‘rileks’ dulu. Teruskan usaha untuk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga kita betul-betul selamat. Duduk di rumah, kurangkan pergerakan luar," katanya pada sidang akhbar menerusi Facebook Live di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) tadi.
Dalam perkembangan lain, Kon Yeow berkata, keadaan ekonomi Pulau Pinang masih mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.
"Tahun lalu, dalam sektor pembuatan, Pulau Pinang merekodkan pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM13.3 bilion dalam bentuk pelaburan diluluskan. Ini mewakili kira-kira 23 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan sektor pembuatan Malaysia.
"Pelaksanaan pelaburan ini sudah bermula, dan InvestPenang (iP) menjangkakan bahawa Pulau Pinang akan mewujudkan kira-kira 13,000 peluang pekerjaan baharu. Dalam sektor ekonomi, kita sedar bahawa Pulau Pinang dan Malaysia mungkin tidak mempunyai dinamik seperti China yang mana penyusutan perbelanjaan pasaran dunia telah diseimbangkan dengan pengembangan pasaran domestik mereka," katanya.
Beliau berkata, susulan itu, fokus serampang dua mata ‘Strategi Next Normal Pulau Pinang’ akan dilancarkan bagi memastikan pemacuan ekonomi negeri itu melalui pelaksanaan projek awam dan pengukuhan sektor perusahaan kecil dan sederhana (SME).
"Saya akan membuat pengumuman lanjut mengenai projek awam kerajaan negeri dalam tempoh terdekat. Pada aspek pengukuhan sektor SME, Pulau Pinang mensasarkan kerangka pemikiran baru yang sebenarnya sudah mula dilaksanakan beberapa tahun kebelakangan ini.
"Kita sedang mengukuhkan sektor peralatan perubatan, memfokuskan semula sektor elektrikal dan elektronik (E&E), mengembangkan sektor perkongsian perkhidmatan global dan memposisikan semula kedudukan Pulau Pinang dalam anjakan rantaian bekalan sedunia akibat krisis," katanya.