SURABAYA - Seorang lelaki di Kampung Sumberjo, Jombang, yang menghasilkan lukisan dari buluh wulung berjaya meraih pendapatan lumayan.
Anang Setyo Pambudi, 30, memulakan ukiran pertamanya pada tahun lalu.
Menurutnya, dia mengukir gambar bekas Presiden Indonesia, Abdurrahman Wahid atau Gus Dur di atas buluh lengkap dengan ukiran nama tertera di bawah lukisan tersebut.
"Ya benar, karya pertama ialah wajah Gus Dur dan mendapat sambutan hangat daripada pembeli," katanya kepada Jawa Pos.
Katanya, idea untuk menghasilkan lukisan itu timbul selepas melihat buluh wulung berwarna hitam milik jirannya.
"Saya tertarik dengan keunikan buluh itu. Jadi saya membuat carian di YouTube bagaimana mahu menghasilkan lukisan menggunakan buluh.
"Tapi saya ikut gerak hati dan kreativiti sendiri. Beberapa kali juga cuba hingga berhasil. Tak semudah kita sangka kerana perlu mahir untuk lukis di atas buluh," katanya.
Anang berkata, saiz ukiran lukisan antara 40 hingga 50 sentimeter.
"Foto wajah akan ditekap pada buluh ikut kesesuaian. Setelah ditekap baru lukis dan ukir.
"Saya lebih gemar guna pisau," katanya.