KUALA LUMPUR - Seorang penghantar makanan cedera parah selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan lain di Kilometer 29.9 Lebuhraya Utara Selatan dari arah Plaza Tol Duta menghala ke pusat bandar, hari ini.
Mangsa, Muhammad Zulhelmi Zulkefeli, 33, dilaporkan parah selepas motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggangnya melanggar sebuah lori dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kenderaan yang terbabit dalam kejadian itu melibatkan sebuah lori, sebuah kereta Proton Iswara dan lima motosikal.
"Siasatan awal mendapati sebuah lori sedang bergerak di lorong paling kiri sebelum dilanggar motosikal mangsa dari arah belakang menyebabkannya tercampak di atas jalan pada lorong tengah," katanya melalui kenyataan media hari ini.
Zulkefly berkata, empat penunggang motosikal yang berada di lokasi itu telah membuat hadangan di lorong tengah dan kiri sebelum turun untuk memberi pertolongan kepada mangsa.
"Sebuah kereta Proton Iswara sedang bergerak di lorong paling kiri melanggar sebuah daripada empat motosikal berkenaan dan hilang kawalan lalu melanggar mangsa yang terbaring di laluan terbabit,” katanya.
Zulkefly berkata, empat penunggang motosikal, pemandu lori serta pemandu kereta terbabit tidak cedera dalam kejadian itu.
"Mangsa yang dilaporkan parah itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.