LUMUT - Seorang mekanik ditahan atas kesalahan memiliki senjata api jenis raifal dan pistol tiruan di sebuah bengkel di Jalan Besar, Pantai Remis di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pemeriksaan pada jam 11 malam itu menemui senjata tersebut di bahagian tempat duduk belakang kereta Toyota Vios lelaki berusia 35 tahun itu.
"Siasatan awal terhadap lelaki itu mendapati dia memiliki senjata itu disebabkan hobi dan minatnya dalam aktiviti menembak.
"Berdasarkan risikan lelaki itu menjadikan persekitaran bengkel itu untuk menguji senjata dengan menembak tin kosong,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung di sini hari ini.
Menurutnya, senjata berkenaan mirip dengan senjata sebenar kecuali fungsinya yang tidak sama.
"Suspek mengaku memperoleh ketiga-tiga senjata ini dengan membeli menerusi dalam talian pada tahun 2017.
"Raifal itu dibeli dengan harga RM2,500 manakala dua pistol terbabit bernilai RM3,500,” katanya.
Nor Omar berkata, raifal yang dirampas adalah jenis automatik jenama HK416D kaliber 5.56mmx45, manakala pistol yang dirampas jenama Pietro Beretta Gardone dan Combat Master bersama dua kelopak.
"Polis turut merampas botol berisi 1,110 butir ball bearing dan tabung gas bersama beg simpanan dan sarung tangan.
"Suspek direman selama empat hari sehingga Selasa depan bagi mengenalpasti penglibatan dalam kes samun,” katanya.
Nor Omar berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata tiruan dan Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.