Terpaksa tangguh pengajian akibat kanser

Iklan
Abdul Halim turut berdepan masalah pernafasan sempit sekaligus memaksa lehernya ditebuk.

MACHANG - Pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Abdul Halim Mat Hassan, 25 terpaksa menangguhkan pengajiannya selepas disahkan menghidap kanser pangkal hidung sejak Disember 2017.

Dia bukan sahaja terpaksa menangguhkan pengajian malah turut menghadapi pelbagai kesukaran akibat penyakit tersebut termasuk hilang lebih 30 kilogram berat badan dan menjalani pembedahan menebuk leher selain turut melalui rawatan radioterapi dan kimoterapi.

Iklan
Iklan

Kata Abdul Halim, dia juga terpaksa bergantung hidup kepada susu khas yang dicadangkan doktor dengan perbelanjaan mencecah RM700 sebulan.

Jelasnya, perbelanjaan tersebut bukan sedikit bagi keluarganya memandangkan ayahnya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan tidak menentu dan mereka turut mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM150 sebulan.

Iklan

Tambahnya, dia menyimpan hasrat yang cukup besar bagi membantu kedua orang tuanya sebaik sahaja menamatkan pengajian memandangkan dia anak pertama dalam keluarga yang berjaya menjejakkan kaki ke menara gading.

"Saya sendiri tak sangka dan terkejut apabila dimaklumkan menghidap kanser pangkal hidung tahap tiga namun sebagai seorang mukmin saya menerimanya dengan reda dan yakin perancangan ALLAH adalah yang terbaik.

Iklan

"Saya sepatutnya menjalankan latihan industri pada Februari tahun lalu namun terpaksa ditangguhkan ke September pada tahun yang sama. Akibat masalah kesihatan yang berterusan, saya sekali lagi terpaksa menangguhkan latihan itu ke tahun ini. Saya berharap dapat menghabiskan pengajian ini dengan segera dan mengenggam segulung ijazah untuk dihadiahkan kepada orang tua mereka sebagai tanda terima yang tidak terhingga atas pengorbanan mereka," katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Islam Abdul Halim di 03045022358713.