Orang Asli jaga anak lebih baik

Iklan
Hannah Yeoh

KUALA LIPIS - Penderaan kanak-kanak dan jenayah seksual melibatkan golongan masyarakat Orang Asli didapati amat jarang berlaku, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh.

Menyifatkan perkara itu sebagai sesuatu yang menarik, Hannah Yeoh berkata situasi tersebut menunjukkan bahawa masyarakat Orang Asli menjaga anak mereka dengan baik.

Iklan
Iklan

"Apabila saya bincang dengan Orang Asli di sini jarang ada penderaan kanak-kanak, jenayah seksual juga sangat sedikit, golongan autisme juga tiada langsung. Ini penemuan yang sangat menarik," katanya kepada pemberita selepas meninjau Pusat Transit Lipis di sini, hari ini.

Selain itu, Hannah Yeoh berkata kerajaan baharu di bawah PH perlu menilai dan mengkaji semula kaedah untuk membantu masyarakat pribumi itu, termasuk berkaitan aspek kesihatan.

Iklan

"Penyusunan kebajikan Orang Asli mesti ada formula baharu, jangan salin dan tampal daripada yang sebelum ini kerana tidak membawa apa-apa perubahan," katanya.

Mengenai Pusat Transit itu, Hannah Yeoh berkata masalah utama yang dihadapi adalah ketiadaan air bersih, dan ruang yang terhad di samping kekurangan kemudahan ambulans untuk membawa penduduk bermasalah kesihatan selain wanita hendak bersalin ke hospital.

Iklan

"Kedua-dua ini merupakan kemudahan asas yang sangat diperlukan kerana Rumah Transit ini ada wanita yang hendak bersalin tinggal di sini sebelum dipindahkan ke hospital atau selepas keluar dari hospital. Sekarang ruang bercampur lelaki dan wanita yang mana ia tidak sesuai," katanya.

Sehubungan itu, Yeoh berkata pihaknya akan membawa perkara tersebut ke Putrajaya untuk tindakan lanjut kerana ia melibatkan pelbagai kementerian termasuk Kementerian Kesihatan.- Bernama