SEMENJAK penularan koronavirus (Covid-19), seramai 15,477 orang dijangkiti dengan 527 kematian di Asia Tenggara.
Pandemik itu merupakan salah satu cabaran yang paling serius dihadapi oleh ASEAN. Persidangan Khas ASEAN-Amerika Syarikat (AS) yang dijadualkan diadakan di Las Vegas, AS pada Februari 2020 terpaksa ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.
Jika dibandingkan dengan cabaran terdahulu seperti krisis ekonomi pada tahun 1997 yang dapat diatasi dengan penggubalan dasar fiskal yang rapi serta mengawal aliran mata wang, manakala pandemik Covid-19 jauh lebih mencabar kerana virus itu amat mudah dijangkiti dan sukar untuk dikawal.
Negara-negara anggota ASEAN secara individu mengambil langkah seperti perintah kawalan pergerakan, menutup sempadan untuk mengehadkan aliran keluar masuk, kuarantin, larangan perjalanan, penjarakkan sosial atau social distancing serta pakej rangsangan ekonomi.
Bagaimanapun, pandemik Covid-19 bersifat transnasional yang melampaui batasan sempadan. Oleh yang demikian untuk membendungnya secara berkesan memerlukan suatu kerangka kerjasama rantau atau regional cooperation framework yang amat penting untuk memudahkan kerjasama di peringkat rantau.
Tanggungjawab ini terletak pada ASEAN yang merangkumi 10 negara Asia Tenggara. Justeru, pada 1 April lalu, Indonesia telah mencadangkan supaya suatu persidangan khas ASEAN diadakan bagi membincangkan strategi untuk memerangi pandemik Covid-19.
Persidangan khas itu diadakan secara maya atau virtual melibatkan 10 anggota ASEAN, termasuk juga ASEAN Plus Three (China, Jepun dan Korea Selatan) serta kuasa-kuasa besar yang turut berhadap dengan pandemik Covid-19 seperti AS dan Rusia.
Sebenarnya ASEAN telahpun mengambil inisiatif melawan pandemik Covid-19, antaranya Sektor Kesihatan ASEAN telah mengadakan persidangan khas video dalam kalangan pegawai kanan kesihatan bagi membincangkan pengukuhan kerjasama dalam menghadapi Covid-19 pada 13 Mac lalu.
Persidangan tersebut dihadiri semua negara anggota ASEAN dan mereka telah bersetuju dengan beberapa kaedah termasuk perkongsian informasi teknikal serta amalan baik dalam usaha membendung penularan Covid-19. Selain itu, para peserta juga telah bersetuju untuk mewujudkan perisian atau software untuk mengumpul serta menganalisis data yang berkaitan dengan bencana termasuk pandemik Covid-19.
Selain itu, ASEAN turut mengadakan dialog dengan negara-negara yang berkepentingan khasnya China dan AS. Kemajuan dalam teknologi perhubungan pada masa kini dengan adanya persidangan video atau videoconferencing memudahkan sesi dialog diadakan berbanding semasa penularan penyakit Severe Acute Respiratory Syndrome (SAR) di Asia Tenggara pada 2003.
Semasa menghadapi pandemik Covid-19, ASEAN EOC Network mempunyai tanggungjawab untuk menyebarkan informasi yang betul dan terkini supaya pemerintah mampu membuat keputusan yang tepat.
Kelangsungan atau survival kita bergantung kepada sejauh mana kita bekerjasama untuk memerangi virus Covid-19 sebelum ia meragut lebih nyawa.
Malaysia sebagai salah satu ahli ASEAN pada prinsipnya bersetuju dengan cadangan penubuhan Dana Respons Covid-19 ASEAN yang akan menjadi sebahagian daripada Dana Pembangunan ASEAN atau ASEAN Development Fund (ADF).”
*Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Fakult Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya