'Semangat kami tidak luntur lawan Covid-19'

Iklan
Pegawai Kesihatan Persekitaran memantau dan mengendalikan proses menghantar ke pusat kuarantin bagi rakyat Malaysia yang baru balik dari Thailand di Bukit Kayu Hitam.

ALOR SETAR - Sedar tugasan berdepan 'musuh' yang tidak nampak bukan perkara yang mudah, namun semangat kira-kira 350 anggota Pegawai Kesihatan Persekitaran dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran di seluruh Kedah tidak luntur bagi mengesan dan membasmi penularan pandemik Covid-19.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Unit Inspektorat Dan Perundangan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Zulnazri Mat berkata, kumpulan ini sentiasa berdepan risiko dijangkiti kerana mereka adalah barisan hadapan ditugaskan mengesan dan mencari kes serta individu rapat kepada kes positif yang masih belum lagi disaring.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pihaknya juga menyiasat pergerakan kes positif yang dimasukkan ke wad bagi mengesan punca jangkitan.

"Kami telah ditugaskan sejak awal Januari lalu mengawasi kemasukan orang dari luar negara di pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam, namun di dalam bilangan yang kecil. Namun sejak Mac lalu, jumlah anggota ditambah dan digerakkan di seluruh negeri ini.

Iklan

"Mungkin ramai rakyat Malaysia yang tidak tahu kehadiran dan peranan unit ini, namun kumpulan inilah yang juga memantau tahap kesihatan individu yang ada kaitan dengan Covid-19 setiap hari dan memastikan segera dirujuk ke hospital sekiranya mempunyai tanda dan gejala sakit" katanya kepada Sinar Harian.

Zulnazri berkata, di Pejabat Kesihatan Daerah dan Jabatan Kesihatan Negeri, unit ini bertugas di bilik gerakan wabak bagi pengumpulan dan penganalisa data.

Iklan

Di pintu masuk antarabangsa, katanya, unit ini digerakkan dengan mengadakan pemantauan tahap kesihatan individu yang memasuki Malaysia melalui pemeriksaan suhu badan dengan menggunakan alat pengesan haba.

"Unit ini juga akan mengumpul data-data seperti bilangan kes, bilangan konteks rapat, bilangan pengawasan dan sebagainya untuk dianalisa oleh pakar perubatan kesihatan awam.

"Kami juga bertanggungjawab menyalurkan data dan maklumat ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Jabatan Kesihatan Negeri Kedah dan seterusnya kepada CPRC Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Tambahnya, walaupun berdepan dengan 'musuh' bahaya dan tidak kelihatan, namun unitnya tidak gentar menjalankan tugas untuk berdepan 'peperangan' yang masih belum tamat ini.

"Kami sentiasa ingatkan kepada semua anggota agar sentiasa mengamalkan langkah keselamatan dan kebersihan tertinggi dan perlu memakai peralatan perlindungan diri (PPE) jika turun ke lapangan semasa melakukan tugasan," katanya.

Dalam pada itu, Zulnazri berkata, sebagai pegawai diberi kuasa di bawah Akta 342, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran bersama anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat pemantauan pematuhan orang awam terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan.

"Buat masa ini polis akan mengeluarkan kompaun sebanyak RM1, 000 kepada individu yang melanggar PKP dan bayaran kompaun perlu dibuat di mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah," katanya.