Strategi berani pulihkan ekonomi

Iklan
Lokasi tumpuan seperti sekitar pusat beli-belah Sogo lengang tanpa kenderaan yang melalui Jalan Tuanku Abdul Rahman tidak seperti hari biasa. (Gambar kecil: Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz )

NYAWA adalah utama. Dalam usaha memerangi penularan wabak Covid-19, fokus utama kerajaan tetap jelas iaitu keselamatan nyawa rakyat mengatasi segala kepentingan lain.

Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang keseluruhannya bernilai RM260 bilion telah memberi penekanan kepada kesihatan awam. Kerajaan juga telah memperuntukkan lebih RM1.6 bilion untuk kesihatan awam. Selain itu, lebih 1,900 kakitangan kesihatan tambahan dilantik untuk membantu dalam perang melawan wabak Covid-19.

Iklan
Iklan

Strategi kita terang lagi bersuluh: kerajaan komited untuk memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada wira barisan hadapan negara yang sedang berjuang memerangi wabak Covid-19 ini.

Kini, kita sudahpun memasuki fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Rata-rata kita juga sudah mula menerima cara hidup norma baharu ini, baik dari segi penjarakkan sosial, pembelajaran secara atas talian, dan tidak lupa juga, cara kita menghulur ‘Salam Malaysia’. Namun, sepanjang PKP, persoalan yang sudah tentu bermain dalam fikiran semua rakyat Malaysia pastilah tentang hal mata pencarian selepas ini.

Iklan

Kebimbangan ini dikongsi oleh setiap lapisan rakyat Malaysia. Golongan peniaga, tidak kira bersaiz besar, sederhana atau kecil, pasti risau memikirkan kerugian perniagaan masing-masing. Majikan resah memikirkan gaji pekerja yang berterusan perlu dibayar meskipun perniagaan terhenti manakala golongan yang makan gaji bimbang akan kestabilan pekerjaan dan pendapatan mereka selepas ini.

Pastinya terjejas ialah pekerja kontrak, pekerja harian serta karyawan bebas yang bergantung pada pendapatan upah. Siswazah kita yang baru memasuki pasaran pekerjaan pula tertanya-tanya sama ada terdapat peluang dalam pasaran yang tidak menentu ini.

Iklan

Kerajaan peka dan mendengar segala kegusaran ini.

Atas pertimbangan semua ini dan lebih lagi, kerajaan telah melancarkan Pakej Prihatin pada 27 Mac lalu. Pakej itu mengambil langkah dan inisiatif bagi menggalakkan aliran tunai. Inisiatif seperti Bantuan Prihatin Nasional, moratorium pinjaman bank, pengurangan sumbangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan banyak lagi dirangka dengan satu matlamat iaitu memastikan rakyat Malaysia mempunyai wang yang cukup untuk menyara diri dan keluarga dalam masa terdekat.

Kualiti hidup

Usaha kerajaan tidak terhenti selepas Pakej Prihatin diumumkan. Kerajaan terus mendapat maklum balas daripada pihak berkepentingan. Berdasarkan maklum balas daripada industri Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), kerajaan pada 6 April mengumumkan Pakej Prihatin PKS+ yang memberi fokus kepada perniagaan mikro, kecil dan sederhana. Pakej Prihatin PKS+ bertujuan untuk memastikan perniagaan dan pekerjaan dapat dilindungi dalam keadaan ekonomi terjejas akibat wabak Covid-19 ini.

Namun begitu, kerajaan sedar bahawa kesemua langkah ini hanya dapat membantu dalam jangka masa pendek untuk melindungi kehidupan rakyat.

Persoalan yang lebih utama, dan juga mungkin lebih sukar untuk dijawab: apakah strategi terbaik untuk memastikan kita segera kembali menikmati kualiti hidup dan pertumbuhan ekonomi pra-Covid-19? Dan apakah langkah untuk mencapai strategi ini memandangkan Covid-19 boleh menyerang semula pada bila-bila masa, seperti yang dilihat di Singapura dan Jepun kebelakangan ini.

Kita perlu menerima hakikat bahawa perniagaan dan kehidupan kita akan berubah kepada satu norma baharu walaupun selepas berakhirnya PKP nanti. Amalan seperti penjarakkan sosial akan berterusan manakala aktiviti-aktiviti komersial akan tertakluk kepada kewujudan ‘zon jangkitan’ Covid-19, dan prosedur operasi standard (SOP) yang baharu untuk menggantikan yang lama.

Malaysia perlu memenangi perang melawan wabak Covid-19 bagi memastikan kesinambungan perniagaan sekali gus menjamin pekerjaan rakyat.

Walaupun kita masih dalam keadaan kawalan pergerakan, tetapi pelbagai pihak khasnya agensi-agensi kerajaan sudah mula memikirkan cara untuk membantu rakyat dalam menghadapi norma baharu selepas Covid-19 nanti.

Dalam menghadapi kesan negatif ekonomi dalam landskap yang mencabar ini, perancangan pemulihan ekonomi memerlukan pemikiran strategik, keberanian dan pemikiran di luar kotak serta model yang mampan. Pada bulan Mac, apabila Kementerian Kewangan mengumumkan penubuhan LAKSANA (Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional) untuk memantau pelaksanaan Pakej Prihatin, kami mengambil keputusan untuk LAKSANA menggunakan platform bersandarkan model data agar keputusan adalah lebih tepat dan tindak balas lebih cepat.

Kerajaan juga akan meningkatkan usaha untuk menggunakan teknologi, memanfaatkan penuh potensi model-model digital serta memangkinkan cara-cara tadbir urus moden dalam norma baharu ini.

Kita sebagai rakyat, juga perlu muhasabah diri, untuk mengakui kesilapan lampau dan memiliki keberanian untuk mengubahnya dalam mencorak langkah ke depan. Kini, sudah tiba masanya untuk merubah struktur-struktur lama kepada sesuatu yang lebih mampan.

Bila bercakap tentang pemulihan semula ekonomi, apa yang diidamkan pastinya keluk pertumbuhan berbentuk 'V' iaitu pemulihan yang mendadak susulan keadaan merudum. Bulan-bulan yang mendatang akan menentukan betapa pantasnya kita dapat memacu sektor-sektor pertumbuhan menjelang tahun 2021. Tempoh beberapa bulan yang akan datang ini amat penting dalam proses pemulihan ekonomi negara.

Keselamatan nyawa

Antara langkah-langkah kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara adalah dengan menyokong kesinambungan perniagaan, membantu majikan menampung pekerjaan, memberi latihan kepada tenaga pekerja dan menghulurkan bantuan secara langsung kepada rakyat supaya terus mendapat bekalan keperluan asas.

Dalam usaha itu kita melaksanakan dua strategi secara serentak iaitu menyelamatkan nyawa dan memulihkan semula kehidupan di kawasan-kawasan diisytiharkan selamat.

Apa yang pasti, keselamatan nyawa tetap diutamakan. Jika kemampuan menyara hidup terjejas, ia masih dapat dipulihkan semula. Namun, jika kita kehilangan walaupun satu nyawa, ia hilang selama-lamanya. Oleh itu, memastikan rakyat Malaysia terus sihat walafiat adalah tunjang kepada masa depan negara yang lebih terjamin.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengingatkan rakyat Malaysia bahawa kita miliki kemampuan untuk memenangi perang melawan ancaman Covid-19 ini. Kiasan beliau adalah setelah badai ini berlalu, mentari akan kembali bersinar. Saya yakin dan percaya, dengan pengorbanan dan kecekalan dalam melaksanakan penyelesaian yang tepat, kita akan dapat bersama mengecapi kejayaan dalam menghapuskan wabak ini dan pada akhirnya, mengembalikan hari-hari cerah yang kita dambakan. Insya-ALLAH.

* Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ialah Menteri Kewangan. Sebelum menjawat jawatan menteri, beliau ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank CIMB dan tokoh perbankan terkenal