PASIR GUDANG - Seorang pemuda tidak menyangka tindakannya membantu dua beranak berbangsa Cina membuatkan hati mereka terbuka untuk peluk Islam.
Mohamad Izham Mohamad Hisham, 28, berkata, keluarga itu tinggal satu flat dengannya di Taman Cendana Pasir Gudang.
Bekerja sebagai 'runner' sejak lima tahun lalu, dia berasa simpati dengan kehidupan serba kekurangan Low Seng Teong, 72, dan anak lelakinya, Low Chu Kheng, 40.
"Uncle (Seng Teong) mengalami masalah ingatan setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya beberapa tahun lalu. Jadi hidupnya tidak terurus, sudah uzur, adakalanya tak sedar dia terkencing dalam seluar, kini sudah pakai lampin pakai buang.
"Anak angkatnya pula kurang upaya kerana pekak dan bisu. Setahu saya dia ada keluarga, namun kini dia berdua sahaja hidup dalam keadaan serba kekurangan," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, dia terdetik untuk membantu keluarga itu apabila Seng Teong atau nama Islamnya Syukri Low Abdullah merempat tidur di kaki lima rumah flatnya.
"Uncle ada rumah tapi telah disewakan. Jadi dia terpaksa tidur di mana-mana sahaja termasuk di kaki lima hadapan rumah saya.
"Simpati melihat keadaannya, keluarga saya bantu memberikan kipas dan keperluan lain untuk dia tidur dengan lebih selesa di kaki lima. Ibu juga beri makanan kepadanya. Anaknya pula ketika itu berada di Kuala Lumpur bagi menguruskan keretanya kerana terlibat dalam kemalangan.
"Saya pada awalnya tidak kisah dengan uncle kerana tak kenal tapi lama-kelamaan saya simpati dengannya dan mula dekatinya," ujarnya.
Bermula dari saat itu, anak kedua daripada tiga beradik itu menghulurkan bantuan termasuk mencari bilik sewa untuk Seng Teong di rumah kedai di sini bersama seorang kenalan dipanggil Kak Su.
"Kak Su ini kenal uncle kerana uncle pernah membeli nasi lemaknya. Jadi saya dan Kak Su bantu uncle cari bilik sewa berharga RM280 sebulan.
"Setiap pagi sebelum pergi bekerja, saya akan singgah ke biliknya untuk bagi makanan dan duit belanja. Anak yang telah pulang dari Kuala Lumpur juga ditempatkan di bilik yang sama," katanya.
Kerap kali dibantu Mohamad Izham, Seng Teong akhirnya terbuka hati memeluk Islam.
"Saya mula-mulanya terkejut bila uncle cakap macam itu. Dia mahu peluk Islam sebab niat ikhlas saya bantu dia ketika dia susah.
"Saya bantunya bukan mahu balasan tapi sebab nilai kemanusiaan. Dia pun manusia, saya tahu dia orang baik kerana dia bukan jenis meminta-minta. Walau susah dia senyap je.
"Bila dengar dia ikhlas mahu peluk Islam, saya dan Kak Su bantunya," katanya.
Menurutnya, Seng Teong memeluk Islam atas bantuan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) pada 6 April, manakala anaknya pada 15 April.
Sementara itu katanya, niat membantu dua beranak itu bukan mahu meraih populariti sebaliknya untuk kepuasan buat diri dan bersyukur kerana kedua-duanya mendapat hidayah.
"Memang tak terlintas langsung mereka nak peluk Islam. Keluarga saya pun menangis bila dengar mereka ucap syahadat.
"Alhamdulillah, berkat kita bantu orang, ALLAH mudahkan segala urusan kita," katanya.