PENJAGA gol berpengalaman Jerman, Manuel Neuer kecewa setelah butiran kontraknya bersama Bayern Munich ‘bocor’ kepada umum.
Penjaga gol berusia 34 tahun itu nyata kecewa dengan perkara berkenaan yang disifatkannya tidak pernah berlaku sejak menyertai kelab gergasi Bundesliga itu.
Malah menurut Neuer, banyak butiran mengenai tawaran kontraknya itu tidak benar sebagaimana yang dipaparkan di media.
"Sebelum ini semua perbincangan dikendalikan dengan penuh keyakinan dan tiada apa pun yang ‘bocor’ hingga ke pengetahuan pihak luar.
"Tetapi sekarang, butiran perbincangan itu dipaparkan di media. Namun, ada butiran daripada perbincangan yang dipaparkan itu tidak benar.
"Saya mahu kekal di sini, tetapi kini saya kesal kerana bukan menerusi cara ini saya mengenali Bayern (Munich),” katanya.
Untuk rekod, sejak Neuer menyertai Bayern Munich pada 2011 daripada Schalke 04, dia telah membantu gergasi Bundesliga itu menjulang 18 trofi kejuaraan.
Tambah Neuer, antara berita yang tidak benar dipaparkan media adalah permintaannya untuk kontrak selama lima tahun sedangkan kontrak berkenaan hanya dua tahun sebagaimana yang disediakan kelab berkenaan.
Katanya, berita-berita sedemikian nyata ‘tidak masuk akal’ kerana adalah mustahil baginya untuk meminta lanjutan kontrak berdasarkan kepada faktor usianya ketika ini.
"Saya mahu bermain selagi masih mampu dan terdaya. Tetapi paling penting bagi saya adalah kepercayaan.
"Saya sudah berusia 34 tahun dan lanjutan kontrak selama lima tahun adalah tidak masuk akal kerana saya sendiri tidak jangkakan bagaimana diri saya pada usia 39 tahun kelak.
"Oleh itu penting bagi saya untuk bekerja dengan pihak pengurusan yang boleh dipercayai, sebagaimana setianya saya kepada kelab selaku pemain dan kapten pasukan ini,” katanya.
Difahamkan, pihak pengurusan Bayern Munich telah bersetuju untuk menandatangani penjaga gol berusia 23 tahun, Alexander Nubel dari Schalke sebagai persediaan pasukan berkenaan pada masa hadapan.