Zambry hadir tetapi bukan untuk pendengaran awam

Iklan
Saarani (tengah) pada sidang media, hari ini.

IPOH - Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang dipanggil Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) negeri, Isnin ini berhubung siasatan ke atas Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) akan hadir, tetapi bukan untuk sesi pendengaran awam.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pembangkang Dun Perak, Datuk Saarani Mohamad yang menyifatkan tiada masalah untuk Adun Pangkor itu memberi kerjasama terhadap isu yang cuba dibangkitkan PAC.

Bagaimanapun menurutnya, tindakan PAC membuat perbicaraan awam jelas bercanggah dengan norma demokrasi apabila fungsi jawatankuasa itu dipesongkan menjadi seperti mahkamah awam, sedangkan sesi pendengaran hanya boleh dilakukan di hadapan ahli sahaja.

"Beliau akan hadir tetapi bukan untuk pendengaran awam seperti disebutkan itu kerana adalah menyalahi sekiranya beliau dibicarakan di hadapan umum.

Sebab itu saya mengingatkan bahawa Datuk Seri Zambry tidak akan datang untuk pendengaran awam kerana sepatutnya ia hendaklah diadakan secara tertutup,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri Adun Batu Kurau, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria dan Adun Kampung Gajah, Datuk Wan Norashikin Wan Nordin di Bangunan Umno Perak di sini, hari ini.

Menurutnya, PAC tidak mempunyai kuasa eksekutif untuk menjadi satu badan perundangan membuat perbicaraan umum, malah dalam Perintah Tetap dan Undang-undang Tubuh Negeri Perak tidak ada istilah yang memberi kuasa kepada PAC berbuat demikian.

"Sekiranya prosiding ini diteruskan, maka jelas ia satu bentuk penyalahgunaan kuasa dengan memperalatkan kuasa PAC untuk niat jahat.

"Tidak keterlaluan jika langkah ini disamakan dengan ‘kangaroo court,’ yang terang-terang satu penghinaan terhadap Dun Perak,” katanya.

Saarani berkata, dalam isu ini, PAC melalui firma audit sepatutnya menjalankan siasatan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan berdasarkan hasil siasatan untuk memanggil mana-mana individu bertanggungjawab untuk memberikan penjelasan.

"Itu sepatutnya yang berlaku tetapi sekarang, audit pun belum dimulakan lagi, tiada keputusan siasatan tetapi mereka sudah membuat tuduhan seolah-olah ada keinginan untuk mengaibkan bekas menteri besar.

"Kita sebutkan perkara ini kerana jika mereka tidak berhati-hati mungkin akan datang panggil pula bekas Exco atau bekas Ceo (Ketua Pegawai Eksekutif) untuk dibicarakan secara terbuka,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: PAC: Zambry, Aminuddin perlu hadir]

Dalam laporan sebelum ini, Pengerusi PAC Perak, Leong Cheok Keng berkata, mesyuarat pada 15 November lalu yang dihadiri semua ahli PAC kecuali Adun Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib bersetuju untuk memanggil Zambry dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc, Datuk Aminuddin Hashim hadir pada sesi pendengaran awam.

[ARTIKEL BERKAITAN: Saya belum terima surat PAC: Zambry]